GERIK - Kesemua 14 pemandu dan penumpang daripada empat kenderaan terselamat dalam serangan kumpulan gajah liar di Kilometer 11, Jalan Raya Timur-Barat (JRTB) Gerik-Jeli di sini pada Rabu.
Timbalan Ketua Polis Perak, Deputi Komisioner Zulkafli Sariaat berkata, laporan kejadian itu diterima jam 11 malam melibatkan empat kenderaan jenis Perodua Alza, Toyota Innova, Honda Jazz dan Proton Persona.
Menurut beliau, kesemua pemandu dan penumpang berusia 23 hingga 55 tahun tidak mengalami sebarang kecederaan dalam insiden itu.
"Hasil siasatan mendapati kesemua kenderaan dalam perjalanan dari arah Jeli menuju ke Gerik ternampak sekumpulan gajah di tengah jalan menyebabkan mereka berhenti.
"Ketika kumpulan gajah itu beredar, beberapa ekor gajah lain yang tidak pasti jumlahnya kerana keadaan lokasi yang gelap mula menghampiri dan merosakkan kenderaan dengan menggesel dan menghempap sebelum masuk ke hutan berdekatan," katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.
Zulkafli berkata, kesemua kenderaan mengalami kerosakan dan kemik di bahagian hadapan, belakang, sisi kiri dan kanan.
Tambahnya, Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) telah dimaklumkan mengenai kejadian itu untuk tindakan selanjutnya.
Sinar Harian melaporkan Perhilitan Perak menerusi Unit Tangkapan Gajah (UTG) Daerah Gerik telah mengambil tindakan menghalau kumpulan gajah liar terbabit ke hutan berhampiran.
Pengarahnya, Yusoff Shariff berkata, tindakan segera diambil dengan membuat kawalan di lokasi kejadian berhampiran Tugu Peringatan JRTB sebaik sahaja menerima aduan pada jam 10 malam.
Menurutnya, kawanan gajah dianggarkan antara 25 hingga 30 ekor itu merupakan gajah liar daripada ID Kumpulan Temengor yang menjadikan Hutan Simpan Temengor berhampiran sebagai kawasan keliaran.