[VIDEO] Pesara bomba dipenjara enam bulan ajar anak ajaran sesat The Ahmadi

Iklan

SEREMBAN - Seorang pesara bomba dihukum penjara enam bulan dan didenda RM4,500 oleh Mahkamah Tinggi Syariah di sini, pada Khamis atas tiga pertuduhan mengajar ajaran salah berkaitan The Ahmadi Religion of Peace and Light kepada anak lelakinya bulan ini.

Hakim, Zulfikri Yasoa menjatuhkan hukuman itu terhadap Zolekafeli Abd Ghani, 60, selepas dia mengaku bersalah atas kesemua pertuduhan dibacakan di hadapan jurubahasa.

Iklan
Iklan
Zolekafeli hadir ke mahkamah diiring penguat kuasa JHEAINS.

Beliau turut memerintahkan hukuman penjara dua minggu bagi setiap pertuduhan sekiranya tertuduh gagal menjelaskan denda terbabit.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didapati mengajar ajaran salah yang berlawanan dengan hukum syarak kepada anaknya yang berusia 30 tahun dengan menyatakan Abdullah Hashim adalah Imam Mahdi yang ketiga dan ajaran ini mendakwa roh Allah ada pada Abdullah Hashim.

Iklan

Tertuduh juga didapati mengajar ajaran salah kepada anak sama dengan menyatakan al-Quran telah ditokok tambah oleh Saidina Umar dan kahwin antara adik-beradik dibenarkan dengan syarat kahwin secara biologi dan bukannya secara roh.

Kesalahan itu dilakukan jam lebih kurang jam 2 hingga 4.40 petang di sebuah rumah di Taman Ampangan di sini, pada 12 Oktober lalu.

Iklan

Berikutan itu, tertuduh telah melakukan kesalahan di bawah Seksyen 52 Enakmen Jenayah Syariah Negeri Sembilan 1992 pindaan 2009.

Zolekafeli didapati mengajar ajaran salah yang berlawanan dengan hukum syarak kepada anaknya yang berusia 30 tahun.

Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dihukum dengan denda tidak melebihi RM5,000 atau penjara selama tempoh tidak lebih tiga tahun atau kedua-duanya.

Tertuduh dalam rayuannya meminta hukuman dikurangkan kerana mempunyai penyakit kencing manis, darah tinggi dan jantung serta perlu menyara tiga anak yang masih belajar.

Pendakwa Syarie Jabatan Pendakwaan Syariah Negeri Sembilan, Azizudin Abdullah Halim berkata, kesalahan dilakukan tertuduh adalah serius kerana kenyataan dikeluarkannya jelas berlawanan hukum syarak dan boleh menjejaskan akidah umat Islam.

"Sekiranya hukuman ringan diberi kepada tertuduh, saya khuatir masyarakat di luar sana tidak mengambil serius kesalahan sebagaimana dilakukan tertuduh," katanya

Sebelum ini media melaporkan tiga beranak dipercayai pengikut ajaran The Ahmad telah ditahan Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sembilan pada Rabu.

Dalam serbuan kira-kira jam 3 petang itu, pasukan Penguatkuasaan JHEAINS turut merampas beberapa dokumen yang disyaki mempunyai kaitan dengan ajaran itu serta satu komputer tablet.

Ketua Unit Operasi Bahagian Penguatkuasaan JHEAINS, Ahmad Zaki Hamzah berkata, penahanan pasangan suami isteri dan anak perempuan mereka susulan terdapat maklumat cuba menyebarkan ajaran berkenaan.