KUALA LUMPUR – Sidang Dewan Rakyat pada Khamis kecoh seketika apabila Ahli Parlimen Kota Bharu, Datuk Seri Takiyuddin Hassan membangkitkan mengenai Titah Adendum oleh Yang di-Pertuan Agong ke-16 ketika membahaskan Belanjawan 2025.
Tindakan itu mencetuskan kemarahan Ahli Parlimen Jelutong, RSN Rayer yang mendakwa Takiyuddin mempersoalkan kelakuan Yang di-Pertuan Agong ke-16.
Ekoran pertikaman lidah berkenaan beberapa ahli Parlimen pembangkang turut bangun mempertahankan bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang) berkenaan sehingga ketegangan berlarutan hampir 10 minit.
Rayer mendakwa, tindakan Takiyuddin telah melanggar Peraturan Mesyuarat 36(8) kerana menyebut mengenai perlakuan atau sifat Yang di-Pertuan Agong.
Bagaimanapun, Takiyuddin menegaskan beliau bukan mempersoalkan Seri Paduka Baginda ketika itu sebaliknya mempersoalkan orang yang memfailkan afidavit mengenai Titah Adendum membabitkan tahanan di rumah kepada Datuk Seri Najib Tun Razak.
"Saya ingin tahu bahawa adakah perkara ini wujud. Tidak mungkin Perdana Menteri dan menteri-menteri tidak tahu wujud atau tidak Titah Adendum ini, rakyat Malaysia mahu tahu,” katanya.
Namun, Rayer yang tidak berpuas hati dengan penjelasan berkenaan terus membidas Takiyuddin.
"Yang Berhormat Kota Bharu seorang peguam, (jadi) jangan merujuk kepada sifat kelakuan Yang di-Pertuan Agong,” ujarnya lagi.
Timbalan Speaker Dewan Rakyat, Alice Lau Kiong Yieng kemudian meminta Takiyuddin tidak menyebut mana-mana kelakuan ataupun keputusan Agong.
Susulan itu, Ahli Parlimen Pendang, Datuk Awang Solahuddin Hashim; Ahli Parlimen Kuala Krai, Abdul Latiff Abdul Rahman, Ahli Parlimen Beluran, Datuk Seri Dr Ronald Kiandee dan Ahli Parlimen Arau, Datuk Seri Shahidan Kassim menyelar Rayer dengan mendakwanya tidak faham konteks sebenar Titah Adendum yang disentuh Takiyuddin.
Ketua Pembangkang yang juga Ahli Parlimen Larut, Datuk Seri Hamzah Zainuddin turut bangun mempertahankan bahawa Titah Adendum dibangkitkan Takiyuddin adalah yang disebut oleh Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi yang dikeluarkan Agong.
"Itu bukan menuduh Agong cuma perkara itu yang dikatakan (oleh Ahmad Zahid). Ini untuk memberi penjelasan kepada semua termasuk (Ahli Parlimen) Jelutong,” tegasnya.