Kontrak sewa Black Hawk mungkin terbatal

Iklan
Khaled Nordin

KOTA TINGGI - Kegagalan pembekal Aerotree Defence and Services Sdn Bhd membuat penghantaran empat helikopter sewaan UH-60A Black Hawk kepada Tentera Darat Malaysia (TDM) hingga 30 Oktober mungkin menyebabkan kontrak terbatal.

Sehubungan itu, Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, pihak Angkatan Tentera Malaysia (ATM) akan mencari alternatif lain bagi menggantikan kontrak sewaan berkenaan.

Iklan
Iklan

"Saya telah minta pihak tentera darat untuk mencari alternatif lain kerana ia (helikopter) adalah ‘stop gap’ bagi tempoh lima tahun untuk kegunaan tentera darat,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Eksesais Panah Jaguh Siri 2/2024 di Lapang Sasar Bumi Ke Udara (LSBU), Tanjung Logok di sini hari ini.

Iklan

Kementerian Pertahanan (MINDEF) sebelum ini dilaporkan akan menilai secara menyeluruh terhadap perjanjian pajakan empat helikopter Black Hawk sebelum membuat keputusan sama ada membatalkan kontrak atau memberikan masa tambahan kepada pembekal.

Pada Mei tahun lepas, MINDEF menandatangani kontrak sewaan empat helikopter berkenaan dengan syarikat tempatan Aerotree Defence and Services selama lima tahun bernilai RM187 juta.

Iklan

Ketika ditanya mengenai peruntukan kepada MINDEF dalam Belanjawan 2025, Khaled berkata, terdapat peningkatan antara enam hingga tujuh peratus peruntukan untuk tahun depan berbanding tahun ini.

Peruntukan yang diterima itu membolehkan MINDEF meneruskan usaha pemodenan aset ATM.

"Kita akan teruskan projek-projek LCS (kapal tempur pesisir), LMS (kapal misi pesisir) dan sebagainya (termasuk) soal pembelian helikopter juga,” katanya.

Pada pembentangan Belanjawan 2025 oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim Jumaat lepas, MINDEF menerima peruntukan RM21.2 bilion, pertambahan RM1.4 bilion berbanding 2024 termasuk peruntukan RM5.8 bilion yang dikhususkan untuk kerja-kerja senggara dan pembaikan serta perolehan aset-aset ketenteraan baharu.

Dalam perkembangan lain, Mohamed Khaled memaklumkan laporan penuh berhubung KD Pendekar yang tenggelam di dua batu nautika Tenggara Tanjung Penyusup, Kota Tinggi selepas mengalami kebocoran pada 25 Ogos lepas akan diperoleh dalam masa terdekat.

Beliau berkata, kapal itu telah pun dikeluarkan dan sedang dibawa ke kawasan sesuai untuk membolehkan kajian terperinci dijalankan bagi mengenal pasti punca dan sebagainya.

Pada 25 Ogos lepas, Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) mengesahkan KD Pendekar mengalami kebocoran dan kebanjiran dipercayai berpunca perlanggaran dengan objek bawah air ketika sedang melaksanakan penugasan operasi.

Kebocoran mula dikesan di bilik jentera kapal sebelum merebak dengan cepat dan tidak terkawal namun semua 39 kru berjaya diselamatkan selepas usaha untuk mengawal kebocoran serta menstabilkan kapal tidak berjaya.

Beberapa hari selepas itu, seorang Penyelam Ranjau TLDM dari Markas Selam dan Peperangan Periuk Api (MSPPA) Laskar Kelas (LK) I PLM Arman San Hermansa meninggal dunia ketika membuat selaman dalam operasi salvage kapal berkenaan. - Bernama