[VIDEO] 6 sekeluarga etnik Rohingya termasuk wanita sarat hamil dihadapkan ke mahkamah

Iklan

KOTA TINGGI - Enam sekeluarga etnik Rohingya termasuk seorang wanita yang sarat hamil dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini, pada Khamis atas 13 pertuduhan pecah rumah, simpan harta curi dan ceroboh, sejak awal tahun ini.

Bagaimanapun, kesemua mereka berusia 13 hingga 34 tahun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan hadapan Majistret Nurkhalida Farhana Abu Bakar.

Iklan
Iklan
Enam sekeluarga daripada etnik Rohingya didakwa di Mahkamah Majistret Kota Tinggi atas pertuduhan pertuduhan pecah rumah, menyimpan barang curi dan masuk Malaysia tanpa pas yang sah.

Tertuduh Norjahan Ismail, 34, yang mengandung anak keempat dan suaminya, Muhammad Ibrahim Md Yusof, 24, dituduh dengan 11 pertuduhan pecah rumah serta simpan harta curi.

Manakala menantunya, Mohamad Jamal, 19, dan tiga anak perempuannya masing-masing berusia 17, 14, dan 13 tahun didakwa di bawah Akta Imigresen 1959/63.

Muhammad Ibrahim didakwa di Mahkamah Majistret Kota Tinggi pada Khamis.

Iklan

Berdasarkan kertas pertuduhan, Norjahan dan Muhammad Ibrahim mengaku tidak bersalah bagi tiga pertuduhan mencapai niat bersama melakukan pecah rumah dan mencuri pelbagai barang kemas, jam tangan serta wang.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman maksimum lima tahun dan boleh didenda dan jika mencuri, boleh dipenjara maksimum 14 tahun, jika sabit kesalahan.

Iklan

Kedua-dua tertuduh turut mengaku tidak bersalah bagi lapan pertuduhan bersama-sama dengan curang menyimpan harta curi iaitu pelbagai barang kemas, wang tunai pelbagai mata wang dan jam tangan mewah dengan mengetahui bahawa barangan itu adalah harta curi.

Bagi perbuatan itu, mereka didakwa mengikut Seksyen 411 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum lima tahun atau dengan denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Norjahan (kanan) didakwa di Mahkamah Majistret Kota Tinggi pada Khamis.

Semua perbuatan itu didakwa dilakukan di beberapa kediaman sekitar Kota Tinggi, antara Mac lalu hingga bulan lalu.

Norjahan turut menghadapi satu lagi tuduhan menyimpan harta curi dan memasuki rumah tanpa kebenaran di Mersing, pada Mei lalu.

Dia didakwa mengikut Seksyen 448 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum tiga tahun atau dengan denda sehingga RM5,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Sementara itu, Mohamad Jamal dan isterinya yang juga anak sulung Norjahan, serta dua lagi anak Norjahan didakwa memasuki Malaysia tanpa suatu pas yang sah, pada bulan lalu.

Mereka yang tidak mengaku bersalah didakwa secara berasingan mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 boleh dihukum di bawah Seksyen 6(3) akta sama yang memperuntukkan hukuman denda sehingga RM10,000 atau penjara maksimum lima tahun atau kedua-duanya dan sebat sehingga enam kali, jika sabit kesalahan.

Sebelum itu, Timbalan Pendakwa Raya Ahmad Khairuddin Khalid dan Foo Fang Leong tidak menawarkan sebarang jaminan terhadap semua tertuduh atas alasan Norjahan dan Muhammad Ibrahim yang mempunyai terlalu banyak rekod lampau dan pernah dituduh serta dijatuhi hukuman di beberapa mahkamah dekat Pontian, Kulai dan Butterworth, Pulau Pinang.

"Walaupun belum dituduh, tetapi ia bukti apa yang dilakukan tertuduh seperti Norjahan dan Muhammad Ibrahim ini sangat serius," katanya.

Norjahan dibawa keluar selepas didakwa di Mahkamah Majistret Kota Tinggi pada Khamis.

Bagaimanapun, peguam L Mehnagha yang mewakili semua tertuduh etnik Rohingya itu memohon jaminan diberikan atas beberapa alasan termasuk Norjahan yang sarat hamil dan beberapa tertuduh masih di usia kanak-kanak.

Ahmad Khairuddin dengan tegas membantah memandangkan tiada sebarang dokumen sokongan dikemukakan pihak pembelaan untuk membuktikan usia tertuduh yang di bawah umur.

Mahkamah kemudian tidak membenarkan sebarang ikat jamin terhadap semua tertuduh dan menetapkan 14 November depan untuk sebutan semula kes bagi serahan dokumen.