HARIMAU Malaya turun satu anak tangga dari kedudukan 132 ke-133 dunia dalam kemas kini terbaharu ranking Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) pada Khamis.
Skuad kendalian Pau Marti Vicente itu mengumpul 1,113.92 mata kehilangan 3.72 mata berbanding kemas kini pada 19 September lalu.
Penurunan mata itu selepas Harimau Malaya tewas 0-4 kepada New Zealand dalam aksi persahabatan Tier 1 di Stadium North Harbour, Auckland pada 14 Oktober lalu.
Selain itu, kegagalan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) untuk mendapatkan satu lagi slot perlawanan persahabatan Tier 1 ketika jendela perlawanan persahabatan FIFA itu turut mengundang kepada kejatuhan ranking tersebut.
Malah, berdasarkan kemas kini ranking kali ini, misi Harimau Malaya untuk berada dalam Balang 1 pada undian pusingan ketiga Kelayakan Piala Asia 2027 juga semakin sukar.
Ia selepas India yang menjadi saingan rapat kepada pasukan negara dalam kedudukan ranking yang akan menentukan ke balang 1 atau 2 kini berada di kedudukan ke-125 dunia dengan mengumpul 1,133.78 mata.
Jurang yang sangat besar sebanyak 19.86 mata tampak mustahil untuk dikejar Harimau Malaya apatah lagi pasukan negara setakat ini hanya akan berdepan satu perlawanan persahabatan menentang India pada November.
Undian Kelayakan Piala Asia itu akan diadakan pada 19 Disember.
Dalam pada itu, untuk kedudukan ranking Asia Tenggara menyaksikan Thailand unggul di kedudukan ke-96 diikuti Vietnam di kedudukan ke-119 dunia.
Indonesia pula yang sebelum ini berada dalam kelompok ranking 120 jatuh ke kedudukan ke-130 dunia selepas seri dengan Bahrain dan tewas kepada China dalam Pusingan Ketiga Kelayakan Piala Dunia 2026 Zon Asia.