'Saya tidak campur tangan dalam siasatan 1MDB, SRC' - Najib

Iklan
Najib Tun Razak

KUALA LUMPUR - Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak ketika memberi keterangan di hadapan Mahkamah Tinggi hari ini berkata, beliau tidak mengganggu siasatan pasukan petugas khas 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan SRC International Sdn Bhd kerana beliau sendiri sedang disiasat ketika itu.

Beliau berkata, adalah tidak wajar baginya untuk campur tangan kerana ia boleh dianggap sebagai melampaui tugas pihak berkuasa.

Iklan
Iklan

"Saya juga sedang disiasat, saya tahu ini kerana mereka datang ke pejabat saya untuk menyoal saya, jadi apabila saya juga disiasat, saya boleh dituduh mengganggu siasatan, itu yang saya fikirkan, jadi saya serahkan segalanya kepada pihak berkuasa.

"Jika secara tidak sengaja atau sengaja anda mengatakan sesuatu, maka ia boleh dianggap sebagai perbuatan jenayah," katanya semasa pemeriksaan semula oleh peguamnya Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah dalam saman sivil AS$1.18 bilion SRC International terhadapnya dan bekas Ketua Pegawai Eksekutif SRC, Nik Faisal Ariff Kamil, yang masih bebas.

Iklan

Pada Julai 2015 pasukan petugas khas yang terdiri daripada pegawai Jabatan Peguam Negara (AGC), Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Polis Diraja Malaysia dan Bank Negara Malaysia (BNM) telah melancarkan siasatan berikutan laporan bahawa sejumlah besar wang telah dihantar dari luar negara ke dalam akaun peribadi Najib.

Ketika ditanya oleh Muhammad Shafee mengenai pertuduhan jenayah apa yang mungkin dihadapi jika dia mempersoalkan siasatan pasukan petugas itu, Najib, 71, menjawab,"penyalahgunaan kuasa dan campur tangan dalam siasatan."

Iklan

Beliau juga menyatakan bahawa tiada guna untuk memfailkan satu lagi laporan polis pada masa itu, kerana skandal 1MDB dan SRC sudah menjadi tajuk utama di seluruh negara pada 2015 dan siasatan sedang dijalankan.

Bekas Perdana Menteri yang sedang menjalani hukuman penjara itu seterusnya memberi keterangan bahawa beliau tidak dapat menjangka atau mengesyaki apa-apa untuk mempercayai bahawa dana yang didepositkan ke dalam akaunnya adalah wang haram, terutamanya kerana dua transaksi pertama derma yang dikatakan itu berasal dari akaun Kementerian Kewangan Riyadh.

"Saya tahu sejumlah besar wang akan masuk dan saya memaklumkan bekas pengarah urusan kumpulan AmBank, Cheah Tek Kuang dan meminta beliau memaklumkan bekas gabenor Bank Negara Malaysia (BNM), Tan Sri Dr Zeti Akhtar Aziz.

"Saya beritahu Cheah untuk mengambil surat (derma) dan memaklumkan kepada gabenor BNM. Saya mahu akaun saya dipantau rapi oleh BNM untuk memastikan tiada perkara yang tidak diingini berlaku. Sebagai pelanggan bank saya tidak akan mendapat akses kepada sumber dana berkenaan, sebab itu saya mahu Ambank dan BNM memantau," jelas Najib.

Pada Mei 2021 SRC di bawah pengurusan baharu telah memfailkan saman mendakwa Najib melakukan pecah amanah jenayah dan salah guna kuasa serta memperoleh ganjaran peribadi daripada dana syarikat itu selain menyeleweng dana tersebut.

Sebelum ini SRC menggugurkan lima pengarahnya daripada saman itu dan mengekalkan Najib sebagai defendan tunggal, bagaimanapun Mahkamah Tinggi memberi kebenaran kepada Najib untuk mengeluarkan notis pihak ketiga terhadap mereka.

SRC memohon deklarasi mahkamah bahawa Najib bertanggungjawab atas kerugian yang dialaminya akibat pelanggaran tugas dan amanah beliau serta menuntut bekas Perdana Menteri itu membayar pampasan RM42 juta bagi kerugian itu.

Perbicaraan di hadapan Hakim Datuk Ahmad Fairuz Zainol Abidin bersambung 29 Oktober. - Bernama