Premis sorok minyak masak subsidi, jual kepada pelanggan tertentu diserbu

Iklan
KPDN menyerbu premis di Telok Panglima Garang selepas didakwa menyorok bekalan minyak masak peket 1kg.

PUTRAJAYA - Gara-gara menyorok minyak masak subsidi untuk dijual kepada pelanggan tertentu, sebuah premis di Bandar Tropicana Aman, Telok Panglima Garang, Selangor diserbu Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN).

Ketua Pengarah Penguatkuasa KPDN, Datuk Azman Adam memaklumkan, serbuan yang diadakan pada Isnin lalu telah menemukan sejumlah 84 kilogram (kg) minyak masak bersubsidi peket 1kg, tujuh botol minyak masak 2kg, lapan tong gas petroleum cecair (LPG) 14kg dan 24kg gula putih bertapis kasar selain beberapa dokumen perniagaan lain seperti invois jualan serta belian barang-barang kawalan terbabit.

Iklan
Iklan

"Hasil pemeriksaan awal mendapati, premis terbabit menjual barang-barang kawalan tanpa mempunyai lesen runcit barang kawalan berjadual yang sah di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 [Akta 122]," katanya dalam kenyataan pada Khamis.

Premis terbabit didapati menjual barang-barang kawalan tanpa mempunyai lesen runcit barang kawalan berjadual yang sah.

Ujar beliau, pasukan serbuan telah bertindak menyita kesemua barangan terbabit dan beberapa dokumen perniagaan yang berkaitan dengan nilai rampasan keseluruhan berjumlah RM630.90.

Iklan

"Kertas siasatan telah dibuka dan siasatan lanjut ke atas kes ini sedang dilakukan di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 [Akta 122] bagi mengenal pasti pembekal barang-barang kawalan premis berkenaan serta rantaian pengedarannya," jelas Azman.

Sebelum ini tular di media sosial seorang peniaga yang didakwa menyorok bekalan minyak masak peket 1kg dan hanya dijual kepada pelanggan tertentu.

Iklan

Dalam pada itu, KPDN memberi amaran kepada mana-mana pihak yang berurus niaga dengan barang-barang kawalan berjadual agar sentiasa mematuhi perundangan yang sedang berkuat kuasa termasuk mendapatkan lesen serta tidak menyimpan atau menyorok bekalan barangan terbabit.

"Berdasarkan statistik penguatkuasaan di bawah pelaksanaan Ops Tiris 3.0 bermula 1 Januari hingga 23 Oktober 2024 bagi komoditi minyak masak, sebanyak 386 kes telah dihasilkan di seluruh negara.

"Daripada jumlah itu, sebanyak 512,109kg minyak masak bernilai RM2.79 juta telah berjaya dirampas," katanya.