Kembalikan GST untuk sistem cukai lebih mampan, tambah pendapatan negara

Iklan
Kadar Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) sebanyak lapan peratus dan cukai gula dijangka memberi kesan kepada rantaian harga. Gambar hiasan 123RF

ALOR SETAR - Kadar Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) sebanyak lapan peratus dan cukai gula dijangka memberi kesan kepada rantaian harga.

Penganalisis ekonomi, Dr Mohd Azwardi Md Isa berkata, pengembalian Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) yang dimansuhkan pada 2018 mungkin menjadi jalan terbaik untuk kemampanan sistem cukai negara pada masa akan datang.

Iklan
Iklan

Menurutnya, ini kerana GST telah terbukti berkesan dalam menambah pendapatan negara.

"Formulanya, semakin banyak rakyat bebelanja semakin banyak cukai GST dikutip.

Iklan

"Walaupun sistem percukaian perlu bagi sesebuah negara, pelaksanaan cukai perlulah adil kepada semua rakyat. Kredibiliti sesebuah kerajaan diukur melalui dasar-dasar belanjawan kerana rakyat semakin celik ekonomi, sama ada golongan T20, M40 atau B40,” katanya di sini pada Khamis.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika membentangkan Belanjawan 2025 mengumumkan ‘perang’ terhadap gula dengan menaikkan kadar duti eksais bagi minuman bergula secara berfasa mulai 1 Januari tahun depan.

Iklan

Kadar 40 sen seliter dikenakan selepas Malaysia menjadi antara negara paling obesiti di rantau Asia Tenggara selain gula antara musuh utama penyakit tidak berjangkit.

Sementara itu, kerajaan akan memperluaskan skop SST secara progresif berkuat kuasa 1 Mei 2025 namun cukai tersebut tidak akan dikenakan ke atas barangan makanan asas yang digunakan rakyat.

Pensyarah Kanan Jabatan Perniagaan Antarabangsa dari Universiti Utara Malaysia (UUM) itu berkata, namun beberapa isu didapati kurang jelas antaranya slogan ‘maha kaya’ dan T20 yang menjadi fokus utama dalam Belanjawan 2025.

"Kerajaan perlu jelas, pengkelasan T20 adalah berdasarkan pendapatan isi rumah secara purata berjumlah RM15,000 ke atas. Dalam kelas T20 ini, kebanyakannya adalah penjawat awam yang berkhidmat lebih kurang 15 tahun ke atas dengan gred tertentu dengan suami isteri bekerja.

"Mereka tergolong dalam T20 tanpa mengambil kira komitmen kewangan mereka. Ini berbeza dengan golongan maha kaya terdiri daripada pengarah syarikat sepenuh masa yang gajinya berjuta ringgit atau dalam pengurusan utama syarikat seperti pengurus besar, eksekutif kanan,” katanya.

Menurutnya, jika disalah guna istilah T20 memberikan tafsiran yang tidak tepat.

"Penyalahgunaan subsidi juga perlu dilihat secara lebih objektif. Interpretasi golongan ‘maha kaya’ ini sentiasa mendapat kelebihan subsidi yang mana mereka ditakrifkan tidak layak seolah-olah menggambarkan golongan T20 sebagai ‘pencuri ekonomi’.

"Penghapusan subsidi petrol dan pendidikan mengukuhkan lagi andaian ini. Ia memberikan alasan untuk kerajaan hapuskan subsidi untuk golongan ini secara beransur-ansur sehingga capai sasaran subsidi sifar,” ujarnya.

Mohd Azwardi berkata, terlalu memfokus pemberian subsidi kepada golongan B40 juga tidak sihat secara ekonominya.

"Kitaran ekonomi hendaklah berlaku secara semulajadi. Secara praktikalnya, ekonomi golongan B40 dipacu oleh M40 dan juga T20. Kitaran ekonomi ini perlu ditangani dengan berhati-hati.

"Secara kasarnya, apabila terima gaji, secara automatik jumlah pembelian barangan jualan peniaga kecil, pasar malam, kedai runcit, pasar raya ekonomi naik mendadak. Ini perkara asas yang berlaku dalam ekonomi kita,” jelasnya.

Menurutnya, pengenalan cukai kepada golongan ‘maha kaya’ tidak dinafikan perlu, antaranya cukai dividen bagi pendapatan dividen lebih RM100,000 yang dianggap tepat dan sesuai.

"Cukai barang premium import dan perluasan skop cukai perkhidmatan meliputi perkhidmatan komersial antaranya perniagaan seperti perkhidmatan kewangan berasaskan fi juga tepat pada masanya.

"Paling penting, belanjawan perlu dilihat lebih seimbang tanpa menyisihkan mana-mana pengkelasan. Tafsiran ‘maha kaya’ dan T20 perlu diperjelaskan secara terperinci dan disokong oleh sumber-sumber data ekonomi negara yang jitu,” katanya.