5 hospital di Lubnan tidak dapat beroperasi akibat serangan Israel

Iklan
Bangunan di Lubnan rosak dibom Israel. Foto AFP

TEHERAN - Ketua Kesatuan Doktor Lubnan mengesahkan bahawa lima hospital tidak dapat beroperasi akibat serangan rejim Israel ke atas negara Arab itu, lapor Agensi Berita Republik Islam (IRNA).

Youssef Bakhash membuat kenyataan itu dalam satu wawancara dengan rangkaian TV Al Jazeera pada Rabu, sambil menambah bahawa 22 lagi hospital mengalami kerosakan dalam serangan Israel ke atas Lubnan.

Iklan
Iklan

Beliau juga menyatakan rejim Israel menyasarkan serangan kepada semua orang dengan sektor kesihatan turut terjejas secara langsung. Beberapa kakitangan perubatan telah syahid, manakala ratusan lagi cedera.

Bakhash menekankan bahawa rejim Tel Aviv sengaja menyasarkan infrastruktur dan petugas perubatan dengan tujuan melumpuhkan sektor kesihatan, sambil menambah bahawa sistem kesihatan Lubnan kini berada dalam keadaan yang sangat kritikal.

Iklan

Beliau menyeru rejim penjajah itu agar mematuhi perjanjian antarabangsa dan Konvensyen Geneva.

Tentera Israel melancarkan serangan besar-besaran ke atas pelbagai kawasan di selatan Lubnan sejak 23 September, dan serangan dahsyat ini masih berterusan.

Iklan

Sehingga Selasa, Kementerian Kesihatan Lubnan melaporkan bahawa serangan Israel telah menyebabkan 2,546 orang syahid dan 11,862 cedera setakat ini. - Bernama