MERSING - Keasyikan lapan kru bot nelayan tempatan melayan rasa khayal di laut mengundang padah apabila kesemua mereka dicekup Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim) Zon Maritim Mersing sekitar jam 3 pagi Rabu.
Menurut Pengarah Zon Maritim Mersing, Komander Maritim Suhaizan Saadin kesemua suspek ditahan sempena Op Kaksa dan Op Tiris yang dijalankan di perairan Mersing.
"Kesemua individu melibatkan tujuh warga tempatan dan seorang warga Indonesia berusia lingkungan 37 hingga 55 tahun itu merupakan kru tiga vesel nelayan tempatan.
"Hasil ujian saringan air kencing mendapati mereka positif dadah jenis Methamphetamine, Amphetamine serta Morfin.
"Kesemua mereka kemudiannya dibawa ke Zon Maritim Mersing untuk tindakan lanjut," katanya.
Kes disiasat bawah Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan jika disabitkan kesalahan boleh didenda RM 5,000 atau dikenakan hukuman penjara selama tempoh tidak lebih dua tahun.
Sementara itu, Suhaizan menegaskan, operasi seumpama itu akan terus dilaksanakan dari semasa ke semasa dalam usaha mencegah sebarang aktiviti yang menyalahi undang-undang.