TNB rugi RM441.6 juta akibat kecurian elektrik - Pengarah JSJ

Iklan
TNB mencatatkan kerugian berjumlah RM441,600,089 akibat kecurian elektrik bagi aktiviti perlombongan bitcoin dalam tempoh sejak tahun 2020 hingga September lepas. Gambar hiasan

KUALA LUMPUR - Tenaga Nasional Berhad (TNB) mencatatkan kerugian berjumlah RM441,600,089 akibat kecurian elektrik bagi aktiviti perlombongan bitcoin dalam tempoh sejak tahun 2020 hingga September lepas, kata Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain.

Beliau berkata, maklumat itu diperoleh hasil daripada operasi bersama yang dijalankan oleh pasukan JSJ dengan TNB dalam tempoh berkenaan.

Iklan
Iklan

Mohd Shuhaily berkata, 2,091 serbuan berjaya dilaksanakan di seluruh negara sejak tahun 2020 hingga September 2024 dengan 54 operasi pada 2020, 2021 (529 operasi), 2022 (692), 2023 (358) dan 2024 (458).

"Daripada tahun 2020, hasil serbuan yang kita buat terhadap mesin-mesin perlombongan bitcoin yang telah kita rampas, anggaran kerugian adalah RM5,922,976 dan tahun 2021 sebanyak RM140,454,624.

Iklan

"Pada 2022 sebanyak RM124,963,423, tahun lepas RM67,166,744 dan tahun ini sehingga bulan September dah cecah RM103,092,322.90,” katanya dalam sidang media selepas Majlis Kunjungan Hormat dan Serahan Sumbangan Pacuan Empat Roda oleh TNB di Bukit Aman, di sini pada Khamis.

Mengulas berhubung sumbangan enam pacuan empat roda oleh TNB untuk membantu Polis Diraja Malaysia (PDRM) khususnya JSJ, Mohd Shuhaily berkata, ini merupakan lanjutan daripada kejayaan-kejayaan operasi yang dicapai pada 2022 dan 2023 serta sebagai tanda sagu hati kejayaan Bahagian D4 JSJ Bukit Aman.

Iklan

"Ini bukan kali pertama TNB memberi sumbangan kenderaan kepada kami, malah pada tahun 2022, sebanyak sembilan pacuan empat roda telah diserahkan serta 25 kontena untuk menyimpan barang kes juga disumbangkan pada tahun lepas,” katanya.

Mohd Shuhaily berkata, kerjasama TNB dan JSJ dalam menangani kegiatan kecurian arus elektrik ini telah terjalin sejak 2020.

Turut hadir pada majlis itu adalah Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Ayob Khan Mydin Pitchay; Pengurus Besar Kanan dan Ketua Jabatan Pengurusan Aset TNB, Zahari Dollah dan Setiausaha Polis Malaysia, Datuk Kamaruzaman Abdullah. - Bernama