MOSCOW - Calon presiden Republikan, Donald Trump mendahului pencabarnya daripada Parti Demokrat, Kamala Harris dengan kelebihan dua peratus, menurut tinjauan akhbar Wall Street Journal pada Khamis.
Tinjauan itu menunjukkan bahawa 47 peratus pengundi di AS akan memilih Trump, berbanding 45 peratus untuk Harris.
Tinjauan itu juga menunjukkan bahawa 52 peratus pengundi meluluskan prestasi Trump semasa beliau menjadi presiden AS, manakala hanya 42 peratus meluluskan prestasi Harris sebagai naib presiden, lapor Sputnik.
Tinjauan itu dijalankan dari 19-22 Oktober melibatkan 1,500 pengundi. Margin kesilapan tinjauan ialah 2.5 mata peratusan.
Satu lagi tinjauan yang diterbitkan oleh akhbar Financial Times menunjukkan bahawa Trump telah mengatasi Harris sebagai calon yang lebih dipercayai oleh rakyat Amerika untuk menguruskan ekonomi.
Tinjauan itu mendapati bahawa 44 peratus pengundi berdaftar berkata, mereka lebih mempercayai Trump untuk mengendalikan ekonomi, manakala 43 peratus memilih Harris.
Bagaimanapun, Harris mewakili kepentingan ekonomi kelas pertengahan dan perniagaan kecil dengan lebih baik berbanding Trump, yang dilihat lebih mewakili kepentingan syarikat besar dan individu kaya.
Menurut responden, punca utama kebimbangan kewangan utama mereka ialah kenaikan harga, serta tahap pendapatan, kos sewa, dan perbelanjaan penjagaan kesihatan.
Tinjauan itu dijalankan secara dalam talian dari 17 hingga 21 Oktober melibatkan 1,007 pengundi. Margin kesilapan tinjauan ialah 3.1 mata peratusan.
Pilihan raya presiden AS akan diadakan pada 5 November. - Bernama