Pembangunan semula KL Sentral masih dalam rundingan

Iklan
Anthony (tengah) pada sesi Taklimat Operasi RapidKL pasca-Belanjawan 2025 di stesen LRT Pasar Seni pada Khamis. Foto Awani

KUALA LUMPUR - Projek pembangunan hab pengangkutan KL Sentral masih dalam peringkat perbincangan di antara Unit Kerjasama Awam Swasta (UKAS), Jabatan Perdana Menteri, dan pihak pemaju iaitu Malaysian Resources Corporation Bhd (MRCB).

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata, projek tersebut merupakan Perkongsian Awam Swasta (PPP), dan pihaknya berharap agar perbincangan itu dapat dimuktamadkan tahun ini.

Iklan
Iklan

"Ketika ini, (pembangunan semula KL Sentral) sedang dalam proses rundingan oleh UKAS dan pihak pemaju.

"Pembangunan ini adalah berdasarkan PPP, dan harus melalui UKAS. MOT (Kementerian Pengangkutan) berharap rundingan ini dapat diselesaikan dalam tahun ini juga, agar projek itu dapat dilaksanakan awal tahun hadapan,” katanya lagi.

Iklan

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri sesi Taklimat Operasi RapidKL pasca-Belanjawan 2025 di stesen LRT Pasar Seni, di sini, pada Khamis.

Pada Mei lalu, Anthony berkata, pembangunan semula KL Sentral telah mendapat kelulusan Kabinet, selepas kerajaan mendapati hab tersebut menyaksikan pertumbuhan yang amat pesat dalam tempoh 20 tahun lepas, dan menjadikan kawasan sekelilingnya sesak.

Iklan

MOT, katanya lagi, telah mengemukakan pelan pembangunan bernilai RM1 bilion yang bukan sahaja menjadikan rekaan dan pembangunan KL Sentral menjadikan ia lebih sofistikated, tetapi juga dengan objektif mengurangkan kesesakan pengangkutan awam dan peribadi di kawasan tersebut.

Katanya lagi, kos tersebut akan ditanggung sepenuhnya oleh pihak MRCB.

Bagaimanapun, kata Anthony lagi, kementerian memberi jaminan bahawa projek pembangunan semula hab tersebut tidak akan memberi impak kepada perkhidmatan pengangkutan awam sedia ada, seperti LRT, KTM dan ETS. - Awani