Boleh maafkan tetapi Najib perlu namakan individu bersekongkol - Pejuang

Iklan
Muhammad Rafique Rashid Ali

SHAH ALAM - Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak digesa menamakan setiap individu yang menjadi dalang dan bersekongkol dalam menutup skandal kes dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB) sekiranya mahu dimaafkan.

Ketua Penerangan Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang), Muhammad Rafique Rashid Ali berkata, bekas Ahli Parlimen Pekan itu perlu menamakan kesemua pegawai, jabatan kerajaan, syarikat berkaitan kerajaan (GLC) atau ahli lembaga pengarah yang bertanggungjawab dalam kes tersebut.

Iklan
Iklan

"Tidak kira pangkat atau status. Individu yang menyatakan pernah berjumpa Raja Arab atau tahu mengenai derma Arab juga mesti dinamakan kerana turut bersubahat.

"Ini cabaran Pejuang pada Najib Razak,” katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Iklan

Najib pada Khamis membuat permohonan maaf secara terbuka berhubung kejadian salah laku dalam syarikat 1MDB.

Dalam kenyataan yang dibacakan anaknya, Datuk Mohamad Nizar Najib pada Khamis, Najib kekal menyatakan beliau tidak bersalah dan meletakkan kesalahan kepada ahli perniagaan dalam buruan, Jho Low dan eksekutif Petrosaudi.

Iklan

Dalam pada itu, Muhammad Rafique memaklumkan, jangan meletakkan kesalahan kepada rakyat demi mendapat kemudahan tahanan di rumah seperti ucapan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika pembentangan Belanjawan Madani Ketiga baru-baru ini.

"Beliau memohon maaf secara terbuka kepada seluruh rakyat Malaysia, namun pada masa sama meletakkan Jho Low dan Petrosaudi sebagai dalang.

"Maaf, tetapi...bukankah pada zaman anda, seorang Peguam Negara digantikan dengan Tan Sri Mohamed Apandi Ali?

"Maaf, tetapi...bukankah pada zaman anda juga Pasukan Petugas Khas yang menyiasat 1MDB terdiri daripada Peguam Negara, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) ditamatkan tanpa alasan munasabah?

"Ya, memaafkan itu amalan yang mulia. Malah yang lebih mulia adalah yang memohon maaf dan yang kemudian memaafkan,” ujarnya.