Tengku Muhammad Iskandar, Tengku Natasya selamat diijabkabulkan

Iklan
Tengku Muhammad Iskandar dan Tengku Natasya mengaminkan bacaan doa selepas selamat diijabkabulkan.

KUANTAN - Tengku Arif Bendahara, Tengku Muhammad Iskandar Ri’ayatuddin Shah Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al Mustafa Billah Shah dan pasangannya, Tengku Natasya Puteri Tengku Adnan selamat diijabkabulkan dengan sekali lafaz pada Istiadat Akad Nikah Diraja di Istana Abdulaziz di sini jam 8.50 malam pada Khamis.

Majlis yang berlangsung dengan penuh istiadat Pahang itu disaksikan Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, Tengku Ampuan Pahang, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah,Tengku Mahkota Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah dan kaum kerabat terdekat kedua-dua mempelai.

Al-Sultan Abdullah dan Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah mengaminkan bacaan doa selepas puteranya, Tengku Muhammad Iskandar dan Tengku Natasya selamat diijabkabulkan.

Iklan
Iklan

Tengku Muhammad segak berbusana serba putih dilihat tenang sewaktu lafaz akad nikah yang disempurnakan bapa pengantin perempuan yang juga bekas Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Utama Tengku Adnan Tengku Mansor.

Istiadat akad nikah disempurnakan bapa pengantin perempuan, Tengku Adnan Tengku Mansor.

Detik bersejarah Istiadat Akad Nikah Diraja itu disiarkan secara langsung melalui dua layar besar yang disediakan di Padang Majlis Bandaraya Kuantan 1 (MBK1) di sini dan di Dataran Pekan, Pekan.

Iklan

Orang ramai tidak melepaskan peluang untuk datang memenuhi Padang MBK1 bagi menyaksikan Istiadat Akad Nikah Diraja itu.

Orang ramai berpeluang menyaksikan detik bersejarah Perkahwinan Diraja antara Tengku Muhammad Iskandar dan Tengku Natasya melalui skrin besar di Padang MBK 1 pada Khamis.

Istiadat Perkahwinan Diraja Pahang itu kali kedua dilangsungkan tahun ini selepas Perkahwinan Puteri Diraja, Tengku Puteri Raja, Tengku Puteri Afzan Aminah Hafidzatullah Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan pasangan, FD Idzham FD Iskandar pada 22 Ogos lalu.

Iklan

Istiadat Perkahwinan Putera Diraja, Tengku Arif Bendahara Tengku Muhammad Iskandar Ri’ayatuddin Shah dan pasangannya, Tengku Natasya Puteri bermula dengan Istiadat Meletak Kerja di pekarangan Istana Abdulaziz di sini pada Selasa lalu.

Selepas Istiadat Akad Nikah, majlis diteruskan dengan Istiadat Berinai pada Jumaat dan Istiadat Persandingan Diraja pada Ahad ini.

Semua istiadat akan berlangsung di Istana Abdulaziz bermula jam 8 malam.

Menurut kenyataan Kesultanan Pahang itu lagi, Istiadat Perkahwinan Putera Diraja akan diteruskan mengikut susunan Adat Istiadat Pahang dengan Istiadat Santap Nasi Adap-Adapan, Istiadat Bersiram dan Istiadat Menutup Kerja pada Isnin depan juga di Istana Abdulaziz.

Jelasnya, Istiadat Santap Adap-Adapan bermula jam 4 petang dengan Tengku Ampuan Pahang menzahirkan Istiadat Menyuap Nasi Semangat kepada pasangan pengantin.

Sebaik sahaja Istiadat Nasi Semangat dizahirkan, istiadat diteruskan dengan Istiadat Merenjis dan Istiadat Bersiram.

Bagi mengakhiri semua istiadat, Tengku Panglima Raja, Brigedier Jeneral Tengku Amir Nasser Ibrahim Shah akan menurunkan Bendera Istiadat Menutup Kerja diikuti dengan 16 das tembakan meriam oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM)dan bacaan doa