Penggunaan AI bendung rasuah langkah inovatif, proaktif

Iklan
Penggunaan AI dalam setiap aktiviti, terutamanya melibatkan pengurusan pentadbiran awam dapat mengurangkan pendedahan kepada rasuah. Foto hiasan

SHAH ALAM - Penggunaan teknologi kecerdasan buatan (AI) dalam usaha memerangi rasuah merupakan langkah yang amat inovatif dan proaktif.

Yang Dipertua Ikram Kuala Lumpur, Zainal Adnan Abdul Halim berkata, AI mampu mengesan situasi luar biasa, mengurangkan interaksi manusia, mempertingkatkan ketelusan dan menyediakan sistem amaran awal yang lebih cekap.

Iklan
Iklan

"Saya amat bersetuju dengan pandangan bahawa penggunaan AI dapat membantu mengurangkan rasuah.

"Penggunaan AI dalam setiap aktiviti, terutamanya melibatkan pengurusan pentadbiran awam dapat mengurangkan pendedahan kepada rasuah seperti pengeluaran permit, pemberian geran atau pembelian awam.

Iklan

"Setiap proses akan dipastikan mengikuti prosedur dan tatakelola yang ditetapkan tanpa sebarang keistimewaan atau pengaruh dari pihak tertentu," katanya kepada Sinar Harian pada Khamis.

Sebelum ini media melaporkan, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said berkata, penggunaan AI dapat mengurangkan rasuah dan membantu dalam melaksanakan reformasi institusi.

Iklan

Menurutnya, undang-undang yang ada dalam negara perlu berubah mengikut peredaran zaman.

Tambah Azalina, teknologi adalah satu cara ke hadapan supaya reformasi institusi bersama undang-undang baharu dan sistem teknologi yang ada, boleh membuat perubahan.

Dalam pada itu, Zainal Adnan memaklumkan, penggunaan AI dilihat mampu meningkatkan tadbir urus dengan memperkukuhkan ketelusan, akauntabiliti dan kecekapan dalam proses pembuatan keputusan serta pengurusan sumber.

Tambahnya, penggunaan AI juga dapat digunakan secara efektif dalam pengauditan berterusan dan berupaya menganalisis data kewangan serta operasi untuk mengesan sebarang tanda yang berkaitan dengan rasuah.

"Sistem amaran awal yang dibangunkan oleh AI boleh memberi maklumat kepada pihak berkuasa mengenai sebarang ketidakaturan yang berlaku, membolehkan tindakan segera diambil.

"Institusi kerajaan dan sektor awam boleh menjadi lebih berkesan dalam mengesan, mencegah serta mengambil tindakan terhadap rasuah.

"Namun begitu, kejayaan penggunaan AI ini bergantung kepada komitmen kerajaan dan organisasi untuk melaksanakan teknologi ini secara telus, adil serta mewujudkan rangka kerja undang-undang yang menyokong penggunaannya," jelas beliau.