KPM lakukan siasatan dalaman kes pelajar tertusuk anak panah

Iklan
Pelajar Tingkatan 4 itu tertusuk anak panah yang dilepaskan secara tidak sengaja oleh rakannya ketika menjalani latihan memanah di padang sekolah pada petang semalam.

PUTRAJAYA - Kementerian Pendidikan (KPM) telah menggerakkan siasatan dalaman untuk menyemak sama ada semua prosedur operasi standard (SOP) dipatuhi susulan seorang murid tercedera semasa menjalani latihan memanah semalam.

Mengulas mengenai insiden yang berlaku di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Gurun, Kedah itu, KPM dalam satu kenyataan semalam berkata, pihaknya memandang serius kejadian tersebut.

Iklan
Iklan

"KPM tidak akan berkompromi terhadap pihak yang tidak mematuhi SOP terutamanya aktiviti-aktiviti yang melibatkan peralatan sukan yang boleh mendatangkan kecederaan.

"Tindakan tegas akan diambil berdasarkan hasil siasatan bagi memastikan kejadian seperti ini tidak berulang pada masa akan datang," katanya.

Iklan

Sinar Harian semalam melaporkan, seorang pelajar lelaki di sebuah sekolah menengah di Gurun, Kedah mengalami pengalaman mengerikan apabila sebatang anak panah tertusuk di bahagian mata kirinya dan menembusi sehingga ke telinga.

Pelajar Tingkatan 4 sekolah itu tertusuk anak panah yang dilepaskan secara tidak sengaja oleh rakannya ketika menjalani latihan memanah di padang sekolah sekitar jam 3.30 petang.

Iklan

Mengulas lanjut, kenyataan itu berkata, tindakan segera juga telah diambil untuk membantu mangsa dan keluarga terutamanya dari segi kebajikan, kaunseling dan tuntutan insurans.

"KPM juga akan memberi kerjasama penuh kepada pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) dalam kes tersebut dan akur semua prosedur perundangan sedia ada," katanya.

Katanya, kementerian juga akan terus memberi peringatan kepada semua guru khususnya jurulatih sukan supaya sentiasa mengutamakan keselamatan dan kebajikan murid, sebelum, semasa dan selepas aktiviti atau latihan sukan dijalankan.

"Pihak pentadbir sekolah juga turut diingatkan agar setiap aktiviti murid di sekolah sentiasa diiringi oleh guru dan peralatan sukan berisiko dikendalikan dengan selamat," katanya.

ARTIKEL BERKAITAN Anak panah tersasar tusuk mata kiri