ISU penyelarasan semula masa daftar masuk dan keluar hotel menimbulkan reaksi positif sebilangan besar pengguna di negara ini.
Ini kerana, dalam beberapa tahun ini terutama selepas pandemik Covid-19 berakhir, ramai yang beranggapan masa berada di dalam hotel begitu singkat, tidak berbaloi dengan harga yang dibayar menyebabkan ia tidak lagi menjadi pilihan.
Antara senarionya ialah daftar masuk jam 3 petang dan perlu daftar keluar keesokannya seawal jam 11 pagi. Tentu ia sukar diterima terutama bagi mereka yang merancang percutian bersama keluarga.
Kalau dulu, waktu standard untuk berada di hotel ialah masuk jam 12 tengah hari dan keluar juga pada waktu yang sama, 24 jam dengan kadar bayaran bermula dari RM80 ke atas bergantung kepada jenis bilik yang ditempah.
Bagi yang menginap atas urusan kerja, mungkin tidak terlalu terasa had waktu pendek itu, namun lain halnya dengan mereka yang bersama keluarga.
Jika ketika selepas pandemik, kita faham, waktu yang lama diperlukan untuk membersihkan bilik, proses sanitasi dan sebagainya.
Tapi ia berlarutan sehingga kini sehinggalah Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Tiong King Sing menyarankan hotel membenarkan pengguna menerima waktu penginapan sekurang-kurangnya 23 jam sehari.
Maklum balas daripada pihak industri seperti sudah boleh dijangka, tidak boleh dilaksanakan dengan alasan kos meningkat seolah-olah cuba menjadikan tempoh masa kurang dari 23 jam itu sebagai norma baharu.
Matematiknya mudah. Dulu bayar RM100, duduk di bilik hampir 24 jam, mengapa sekarang hanya terhad kepada 20 jam saja.
Harga bilik pula masih sama atau lebih, tidak berkurang. Sewajarnya harga lebih murah sesuai dengan keberadaan tetamu di dalam bilik, tetapi lain pula yang berlaku.
Hal inilah sebenarnya yang menyebabkan ramai pelanggan beralih kepada perkhidmatan inap desa yang jauh lebih berbaloi, terutama untuk keluarga.
Bayar RM200, dapat sebiji rumah dengan tiga bilik berbanding bayar sebuah bilik kecil yang terhad untuk jangka masa yang singkat.
Sampai masanya untuk pemain industri perhotelan tampil dengan pendekatan yang lebih mesra poket pelanggan, mengenakan harga seiring dengan servis diberikan.
Kalau kurang pekerja, tambahlah, jangan letakkan beban itu kepada pelanggan pula.