KECOH di media sosial mengenai tindakan seorang wanita bertindak memecahkan cermin keretanya sebelum ditarik kenderaan penunda gara-gara didakwa ada tunggakan pinjaman bank selama lapan bulan.
Dalam beberapa posting di media sosial, dikatakan kereta berkenaan dibeli secara kaedah sambung bayar, terma yang agak popular serta banyak diiklankan terutamanya di Facebook.
Ramai yang mempersoalkan tindakan wanita itu yang dikatakan hanya menyusahkan dirinya sendiri dan perlu menanggung dua kos, pembaikan serta tunggakan berkenaan.
Merak Jalanan tidak mahu komen mengenai perkara itu dan apa yang berlaku kepada wanita tersebut, cuma tertarik dengan terma sambung bayar.
Secara mudah, kita sambung bayar baki pinjaman kenderaan dengan sedikit deposit. Bagaimana prosedur itu boleh diluluskan? Apakah ia dibenarkan Bank Negara Malaysia?
Jawapannya, tidak. Sudah tentu ada perinciannya oleh pihak berkuasa.
Apa yang Merak Jalanan nak fokuskan ialah bagaimana ia boleh dilakukan secara terbuka dan mengapa itu berlaku.
Ada beberapa jawapan, antaranya ia merupakan jalan keluar bagi mereka yang ingin memiliki kenderaan tetapi berdepan masalah pembiayaan institusi kewangan, senarai hitam atau ingin namanya bersih daripada rekod bank.
Masalah akan timbul jika kenderaan dibayar oleh pihak ketiga itu terbabit kemalangan atau diguna untuk kegiatan jenayah. Sudah tentu risiko kepada penama.
Ada yang kata peraturan bank ketat sangat, nak buat loan pun susah. Jadi perlu satu mekanisme bagaimana untuk membolehkan mereka yang berada dalam situasi ini dapat memiliki kenderaan tanpa menyusahkan sesiapa.
Setakat ini belum ada jalan selesainya, sudahnya ada yang ambil jalan mudah dengan guna pakai kaedah sambung bayar ini. Alasannya bulan-bulan boleh bayar, nak buat loan bank pula tak bagi. Salah siapa?