SEORANG usahawan percetakan mengaplikasikan hiasan kek menerusi seni tulisan khat yang dilakar pada permukaan kertas kanvas.
Hasil karya terbaharu Mohd Hamdan Mohamad, 46, itu dimulakan selepas selesai menjalani proses penyelidikan dan pembangunan (R&D) selama dua tahun.
Menurutnya, idea untuk menghasilkan karya yang digelar 'kek kanvas' itu tercetus apabila melihat hiasan kek menjadi tarikan pelbagai golongan masyarakat tanpa mengira lapisan usia.
"Untuk hiasan kek sebenar ia menggunakan krim, tetapi untuk karya ini, saya menggunakan pewarna akrilik sebagai pengganti.
"Pewarna tersebut digunakan untuk melakar corak serta tulisan jawi di atas kertas kanvas atau cermin," katanya ketika ditemui pemberita di premis perniagaannya di Kampung Gong Bayor, di sini, baru-baru ini.
Jelas Mohd Hamdan, dia juga mempelajari kaedah penggunaan alatan membuat kek menerusi YouTube selama dua bulan sebelum menggunakan alatan itu untuk karya seninya.
"Bagi mengaplikasikan hiasan kek pada seni khat ini, saya perlu belajar menggunakan peralatan membuat kek seperti bekas acuan serta beg krim pastri bagi menggantikan berus untuk melukis.
"Bagi saya, kehalusan seni pada hiasan kek akan hilang selepas ia dimakan, namun kecantikan seni dekorasi kek itu dapat diabadikan dalam tempoh yang lama dan dijadikan perhiasan rumah dengan cara pembuatan kek kanvas," ujar anak kelahiran Kampung Kerandang, Jabi itu.
Mohd Hamdan yang sebelum ini menjalankan perniagaan pencetakan hiasan kanvas dan menjual lukisan tangan berasaskan seni khat telah menghasilkan 13 karya kek kanvas sejak tiga bulan lalu.
Katanya, dia memperkenal serta mempromosikan produk baharunya itu menerusi media sosial.
"Saya membuka tempahan awal kepada pelanggan yang berminat untuk membeli kek ini kerana ia merupakan produk baharu dan masih belum ada di pasaran.
"Setiap karya yang dihasilkan itu dijual pada harga RM35 hingga RM2,000 setiap satu mengikut jenis reka bentuk yang dipilih," ujarnya.
Jelas Mohd Hamdan, karya seni itu agak agak rumit untuk dihasilkan kerana ia memakan masa selama kira-kira dua jam.
Selain itu, katanya, setiap lakaran pada karya tersebut menggunakan perincian manik serta kristal serta memiliki identiti tersendiri bagi mengelak berlakunya aktiviti plagiat atau ciplak.
Mohd Hamdan berkata, penghasilan setiap karya yang mempunyai ayat al-Quran perlu disemak dengan terperinci kerana dikhuatiri berlaku kesilapan yang boleh membawa maksud berlainan.
"Bagi lukisan yang menggunakan berus biasa kita ambil masa kurang daripada dua jam atau sehari mengikut saiz dan jenis reka bentuk.
"Untuk lukisan tangan pula, ia mengambil masa kira-kira lima hari hingga sebulan untuk disiapkan," katanya.
Mohd Hamdan, sebelum ini berpengalaman bekerja di Jabatan Ulum al-Quran, Yayasan Restu serta memiliki latar belakang tafsir al-Quran ketika menuntut ilmu di Pakistan serta Mesir.
Kelulusan tersebut membolehkan Mohd Hamdan menyemak ayat al-Quran sebelum dicetak dan diukir pada karya seninya.