Tambah baik prosedur tukar penempatan guru

Iklan
KPM perlu menambah baik prosedur sedia ada jika melibatkan kes kritikal demi memastikan kesejahteraan mental dalam kalangan guru. Gambar hiasan (Gambar kecil: Mohd Azizee)

SHAH ALAM - Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) perlu menambah baik prosedur sedia ada jika melibatkan kes kritikal demi memastikan kesejahteraan mental dalam kalangan guru.

Setiausaha Agung Kongres Kesatuan Guru Dalam Perkhidmatan Pelajaran Malaysia (KONGRES), Mohd Azizee Hasan berkata, pangkalan data guru duka lara boleh diwujudkan untuk melihat keperluan opsyen dan kekosongan sedia ada bagi memudahkan proses pertukaran penempatan.

Iklan
Iklan

"Pangkalan data itu sangat penting untuk mengenal pasti guru pasangan yang berpisah penempatan atau perbezaan tempat kerja, masalah kesihatan dan sebagainya.

”Makluman Sistem Maklumat Pengurusan Sumber Manusia (HRMIS)guru boleh bantu kenal pasti bilangan guru dan daripada situ dapat tahu kes yang perlu ditangani atau diselesaikan,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Khamis.

Iklan

Tambah Mohd Azizee, keprihatinan dan kebijaksanaan pihak pentadbir sekolah dalam memahami isu guru duka lara atau kesihatan juga penting untuk menangani masalah tersebut dengan penuh hikmah.

"Pihak pentadbiran boleh memudahkan urusan guru yang mengalami masalah menerusi cuti tanpa rekod atau cuti rehat khas atau kaedah lain yang bersesuaian.

Iklan

"Selain itu, penyediaan khidmat kaunseling berterusan kepada guru duka lara juga perlu bagi meningkatkan daya tahan emosi dan psikologi sebagai pendidik selain memudahkan proses pertukaran,” ujarnya.