Rakyat tumpang gembira, doakan kebahagiaan Tengku Arif Bendahara dan pasangan

Iklan
Sebahagian pengunjung menyaksikan Istiadat Perkahwinan Diraja (Akad Nikah) yang disiarkan secara langsung melalui skrin besar di Padang MBK 1. Kuantan pada Khamis.

KUANTAN - Orang ramai yang menyaksikan lintas langsung Istiadat Akad Nikah Perkahwinan Diraja, Tengku Arif Bendahara, Tengku Muhammad Iskandar Ri’ayatuddin Shah Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al Mustafa Billah Shah dan pasangannya, Tengku Natasya Puteri Tengku Adnan di Padang Majlis Bandaraya Kuantan 1 (MBK1) di sini, tumpang gembira apabila pasangan itu selamat diijabkabulkan.

Rata-rata mereka mengucapkan tahniah dan mendoakan kebahagiaan pasangan pengantin tersebut.

Iklan
Iklan

Bagi jurugambar sambilan, Muhd Aiman Ahmad Hamidon, 24, walaupun hanya disaksikan melalui tayangan di skrin besar, peluang untuk melihat sendiri perjalanan Istiadat Perkahwinan Diraja secara langsung itu tidak dilepaskan.

Muhd Aiman

Baginya, Istiadat Akad Nikah Perkahwinan Diraja itu begitu menarik dan jarang-jarang dapat disaksikan.

Iklan

"Saya begitu tertarik dengan perjalanan majlis yang tertib dengan adat istiadat istana, ada tema tersendiri selain hiasan dan dekorasinya.

"Saya puas hari ini kerana dapat menyaksikan detik bersejarah (akad nikah) ini sampai selesai dan akan datang pada hari berikutnya untuk menyaksikan Istiadat Berinai dan Istiadat Bersanding," katanya sambil mengucapkan tahniah kepada pasangan pengantin itu.

Iklan

Bagi pensyarah universiti, Saidatul Nur Syuhadah Mohamed Sabadri, 33, pula, itu kali pertama dia dapat menyaksikan Istiadat Perkahwinan Diraja Pahang.

Saidatul Nur Syuhadah

Menurutnya, semasa perkahwinan Tengku Puteri Raja, Tengku Puteri Afzan Aminah Hafidzatullah Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan pasangan, FD Idzham FD Iskandar 22 Ogos lalu, dia tidak berpeluang untuk mengikutinya.

"Apa pun saya berterima kasih atas inisiatif pihak terlibat menyediakan skrin besar untuk tayangan istiadat ini secara langsung.

"Alhamdulillah, kebetulan saya pulang bercuti jadi memang sudah rancang untuk datang ke sini malam ini bagi menyaksikannya," katanya.

Dia juga turut mendoakan kebahagiaan pasangan pengantin diraja itu.

Sementara itu, bagi Siti Sarah Zainal Abiddin, 34, walaupun bukan orang Pahang namun bekerja di negeri ini, dia mengambil peluang untuk datang ke Padang MBK1 bersama orang ramai bagi menyaksikan Istiadat Akad Nikah Perkahwinan Diraja itu.

Siti Sarah Zainal Abiddin

Menurutnya, perjalanan istiadat perkahwinan diraja itu berjalan penuh adat dan tersusun.

"Saya paling teruja untuk menyaksikan detik akad nikah dan alhamdulillah, pengantin nampak tenang dan lancar melafazkannya.

"Saya rasa bertuah kerana ini pengalaman pertama dapat menyaksikan Perkahwinan Diraja Pahang," katanya.

Walaupun hanya melalui layar besar, Siti Sarah tetap puas dapat bersama rakyat Pahang menyaksikan perjalanan proses akad nikah putera Sultan Pahang itu.

Tengku Muhammad Iskandar Ri’ayatuddin Shah sah bergelar suami kepada Tengku Natasya Puteri Tengku Adnan dengan sekali lafaz tepat jam 8.59 malam pada Khamis.

Pasangan Pengantin Diraja sama cantik sama padan itu kelihatan begitu menawan dengan persalinan berona putih dalam Istiadat Perkahwinan Diraja yang bermula pada jam 8.30 malam di Balai Mahkota, Istana Abdulaziz di sini.

Istiadat Akad Nikah diserikan dengan keberangkatan Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah; Tengku Ampuan Pahang, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah; Tengku Mahkota Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah serta paduka-paduka anakanda.

Istiadat Akad Nikah dizahirkan bapa pengantin perempuan, Datuk Seri Utama Dr Tengku Adnan Tengku Mansor yang menjalankan upacara akad nikah disaksikan kira-kira 110 jemputan khas dan istimewa kerabat bergelar, ahli keluarga dan teman rapat.