Belanjawan 2025: Beri insentif syarikat PMKS patuhi dasar gaji minimum

Iklan
Kerajaan boleh mempertimbangkan beberapa insentif kepada PMKS yang mungkin terkesan dengan pelaksanaan gaji minimum. Gambar hiasan

IPOH - Kerajaan disarankan untuk menawarkan insentif yang sesuai kepada syarikat, terutamanya perusahaan mikro, kecil, dan sederhana (PMKS) yang mungkin terkesan dengan pelaksanaan gaji minimum pekerja sebanyak RM1,700 pada 1 Februari 2025.

Ketua Jabatan Ekonomi Fakulti Pengurusan dan Ekonomi, Universiti Pendidikan Sultan Idris Prof. Madya Dr. Zainizam Zakariya berkata, walaupun kenaikan gaji minimum ini memberi manfaat kepada pekerja, ia juga membawa kesan terhadap pelbagai aspek dari sudut mikro dan makro ekonomi.

Iklan
Iklan

Beliau berkata, kerajaan boleh mempertimbangkan beberapa insentif seperti pengurangan cukai korporat membantu majikan menampung peningkatan kos gaji, menawarkan insentif kewangan atau bantuan untuk PMKS yang terkesan oleh pelaksanaan gaji minimum itu.

"Langkah seperti ini telah dilaksanakan di beberapa negara maju seperti Australia, Singapura dan Sweden. Contohnya, Wage Subsidy Programme di Singapura membantu majikan dengan memberikan subsidi kepada syarikat yang mengambil pekerja berpendapatan rendah.

Iklan

"Kajian oleh Pertubuhan Kerjasama dan Pembangunan Ekonomi (OECD) menunjukkan bahawa program subsidi gaji dapat membantu syarikat mengurangkan kos tanpa mengurangkan tenaga kerja,” katanya ketika dihubungi Bernama.

Selain itu, Dr Zainizam turut mencadangkan agar kerajaan menyediakan skim latihan bersubsidi untuk membantu pekerja meningkatkan kemahiran, serta menawarkan geran atau pinjaman berkadar rendah bagi membantu syarikat mengadaptasi teknologi baharu, seperti yang dilaksanakan di Sweden.

Iklan

"Majikan di sektor pertanian, perkilangan, dan pembinaan khususnya bimbang tidak dapat mengekalkan jumlah pekerja yang sama akibat kos buruh yang meningkat.

"Ini berpotensi menyebabkan pemberhentian pekerja atau pengurangan waktu bekerja bagi menampung kos operasi yang lebih tinggi,” katanya.

Beliau turut menyatakan bahawa PMKS mungkin akan kurang melabur dalam inovasi atau usaha meningkatkan produktiviti kerana lebih fokus kepada pengurangan kos jangka pendek untuk memastikan kelangsungan perniagaan. Ini seterusnya boleh menghalang pertumbuhan jangka panjang dan melemahkan daya saing mereka di peringkat global.

Sementara itu, Ahli Gerakan Pengguna Negeri Perak, Khairul Anwar El Syazalli Musa, mempunyai pandangan yang berbeza.

Beliau mencadangkan agar PMKS menjalin kerjasama dengan syarikat-syarikat besar yang mempunyai bidang perniagaan yang sama untuk mengatasi cabaran kenaikan gaji ini.

Khairul Anwar El Syazalli Musa berkata bahawa beliau melihat langkah kenaikan gaji minimum sebagai satu daripada strategi kerajaan untuk mengenal pasti syarikat-syarikat kecil yang kurang produktif kerana banyak syarikat kecil berkembang pesat seperti cendawan selepas hujan, tetapi tidak memberi hasil yang memuaskan.

"Bagi mengatasi cabaran kenaikan gaji, syarikat-syarikat kecil boleh mengambil langkah untuk maju ke hadapan dengan bergabung dengan syarikat-syarikat besar. Ini membolehkan mereka mempelajari selok-belok operasi perniagaan yang lebih baik, sekali gus mengurangkan kos pengurusan, yang akhirnya memberi ruang kepada kenaikan gaji," katanya.

Beliau turut menegaskan bahawa pemberhentian pekerja yang tidak produktif bukanlah sesuatu yang negatif.

"Gaji yang tinggi seharusnya seiring dengan produktiviti pekerja. Apabila ini tercapai, syarikat kecil mampu berkembang dan mula mencatat keuntungan, yang akhirnya turut menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi negara," tambahnya.

Walaupun mengakui bahawa kenaikan gaji minimum ini membawa cabaran besar kepada PMKS, Khairul Anwar berkata, langkah ini tetap perlu dilaksanakan untuk melindungi pekerja di negara ini.

"Langkah ini juga bertujuan untuk mengurangkan jurang pendapatan dan memperbaiki taraf hidup rakyat dalam jangka panjang,” katanya. - Bernama