Perpaduan kunci keharmonian

Iklan
Semangat perpaduan perlu disemai sejak kecil supaya sikap saling menghormati terhadap pelbagai kaum dapat dikekalkan.

USAHA mengekalkan keharmonian negara yang memiliki masyarakat berbilang kaum dilihat bukan satu perkara mudah dan boleh dipandang enteng.

Justeru, semua lapisan masyarakat tidak kira di peringkat pemimpin negara mahupun anak kecil perlu memainkan peranan masing-masing dalam menjaga keharmonian yang telah kita kecapi selama ini.

Iklan
Iklan

Setiausaha Agung Gerakan Belia 4B Malaysia, Mohamad Nazri Abdul Latiff berkata, kunci kepada perpaduan dan keharmonian kepelbagaian kaum antaranya adalah menjunjung Perlembagaan Persekutuan.

Menurutnya, dalam kehidupan masyarakat majmuk yang diamalkan di negara ini, semua pihak perlu memahami asal usul, menghormati serta menerima budaya, bahasa, agama dan cara hidup setiap bangsa.

Iklan

"Kita juga perlu menanam sifat sebagai sebuah keluarga dan saudara. Sekiranya kunci ini disematkan dalam dada setiap insan yang berada di bumi bertuah ini, sudah pasti keharmonian dapat berkekalan.

"Bagaimanapun, tidak dinafikan ada segelintir golongan yang bersikap dan bersifat ekstremis yang bertindak menabur fahaman perpecahan serta menyemarak api perkauman bagi mencetuskan suasana tidak aman dalam negara demi kepentingan peribadi,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian baru-baru ini.

Iklan

Beliau berkata, sekiranya semua rakyat berpegang kepada kunci tersebut selain memainkan peranan masing-masing, maka golongan yang sering mencetuskan perkauman dapat dibendung.

"Jika kita bersatu dan tahu peranan masing-masing, golongan ini bukan sahaja dapat dibendung malah terus dibanteras daripada terus memporak- perandakan negara yang kita cintai ini. Malaysia sebuah negara yang istimewa kerana ia memiliki kepelbagaian kesenian budaya, bahasa, agama dan cara hidup.

"Ini kerana Malaysia mempunyai pelbagai bangsa yang hidup di bawah satu bumbung yang mana ia bermula dari sejarah pembentukan Malaysia (Tanah Melayu). Selepas berlakunya siri peperangan untuk membebaskan Tanah Melayu daripada tangan penjajah dan menuntut hak kemerdekaan, maka bermulanya era kepelbagaian bangsa yang menetap di Malaysia,” katanya.

Mohamad Nazri Abdul Latiff

Menurutnya, sebelum ini, Tanah Melayu hanya didiami kaum Melayu namun selepas beberapa siri perjanjian kuasa penjajah maka ia mula didiami kaum lain.

"Ini berlaku setelah mereka berjanji untuk tunduk dan setia kepada Perlembagaan yang telah termaktub pada waktu itu. Hari ini, Malaysia cukup dikenali di mata dunia kerana keunikan bangsa dan penduduknya mampu hidup dengan harmoni dan aman damai. Setiap bangsa saling menghormati dan merestui budaya, bahasa, agama, cara hidup sesuatu bangsa.

"Malah ada dalam kalangan kaum mula mengadaptasi budaya antara satu sama lain seperti budaya pemakaian. Kita boleh lihat orang Melayu memakai samfu, kaum Cina memakai kurta dan orang India memakai baju Melayu.

"Begitu juga dengan makanan. Jika kita lihat, orang Melayu suka makan yong tau foo, orang Cina suka tosai dan orang India sudah pandai makan nasi lemak. Malah, ada dalam kalangan mereka mula bersatu melalui perkahwinan dan ini menjadikan hubungan antara kaum semakin meriah dan harmoni,” katanya.

Mahasiswa penggerak usaha perkasakan integrasi nasional

Mahasiswa perlu menjadi penggerak dalam memperkasakan semangat integrasi nasional dalam mengukuhkan semangat perpaduan dan penyatuan erat masyarakat berbilang kaum di negara ini.

Walaupun kebelakangan ini sering kali tercetusnya isu yang boleh mengeruhkan hubungan antara kaum, mahasiswa perlu rasional dengan membuat penilaian bijak agar persengketaan yang berlaku tidak berlarutan lama sehingga menjejaskan keharmonian dan kestabilan negara.

Yang Dipertua Majlis Perwakilan Pelajar Universiti Teknologi Mara (UiTM) Pulau Pinang, Amirul Muhamad Afif berkata, sebagai golongan intelektual dan berpelajaran, mahasiswa tidak seharusnya terlalu taksub dalam sesuatu perkara terutamanya apabila timbul persengketaan yang melibatkan perbezaan fahaman serta pendapat.

Menurutnya, isu perkauman, agama dan politik sempit sering menjadi modal tercetusnya ketegangan dan sekiranya perkara itu tidak ditangani dengan berhemah ia boleh mengundang kehancuran sekali gus merugikan masa depan golongan muda.

"Tidak ada masalahnya sekiranya kita berbeza pandangan dan itu perlu kita raikan dan tidak seharusnya dijadikan sebagai penghalang.

"Setiap apa yang berlaku pasti ada jalan penyelesaian yang baik dan pastinya kita perlu lebih matang serta tenang untuk berdepan dengan sesuatu perkara kerana dengan tindakan provokasi atau kekerasan tidak membawa kepada kesudahan yang baik dan menyenangkan,” katanya ketika ditemui di sini baru-baru ini.

Amirul Muhamad Afif

Amirul berkata, elemen keharmonian dan berintegrasi itu penting diterapkan dalam diri setiap mahasiswa bagi mengelak daripada wujudnya isu sensitif seperti perkauman dan agama dalam persekitaran mereka.

Katanya, mahasiswa merupakan pelapis kepimpinan negara memainkan peranan penting dalam menyuntik semangat perpaduan yang luhur dalam sanubari generasi muda.