PDN santuni lapisan masyarakat, lestari gerakan dakwah

Iklan
Program sumbangan makanan sejuk beku.

SHAH ALAM - Penganjuran Program Dakwah Negara (PDN) 2024 oleh Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim) yang kini berlangsung hingga 31 Oktober telah menyantuni pelbagai lapisan masyarakat tanpa mengira latar belakang.

Yadim dalam satu kenyataan berkata, program tersebut bertujuan melestari gerakan dakwah dan pada masa yang sama memperlihatkan Islam sebagai sebuah agama indah untuk semua.

Iklan
Iklan

Menurutnya, PDN yang berlangsung di seluruh negara bukan sahaja melibatkan kakitangan Yadim, tetapi juga ejen dakwah di seluruh negara seperti Sukarelawan Yadim (SAY), Rakan Siswa Yadim (RSY), Rakan Beliau Yadim (RBY) dan Daie Orang Asli (DOA).

Komuniti Orang Asli turut dilibatkan sama dalam PDN 2024 seperti Program Jejak Persahabatan Bersama Komuniti Orang Asli Kampung Tonggang, Ulu Kinta, Perak pada 19 Oktober.

"Antara pengisian PDN 2024 termasuklah program kepimpinan golongan muda yang menyaksikan barisan kepimpinan Rakan Siswa Yadim (RSY) menerima watikah lantikan masing-masing daripada Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na'im Mokhtar.

Iklan

"Program kali ini turut melibatkan golongan ilmuwan dan asatizah menerusi penganjuran Jelajah Nadwah Ulama dan Ilmuwan Yadim (NUIM) ke seluruh negara.

"Melalui program ini, peserta bukan sahaja dapat membudayakan semangat menimba ilmu bahkan mereka juga dapat mewujudkan perasaan rasa cintakan negara berdasarkan kandungan yang telah disampaikan oleh ilmuwan,” katanya pada Jumaat.

Iklan
Program kepimpinan golongan muda yang menyaksikan barisan kepimpinan Rakan Siswa Yadim (RSY) menerima lantikan masing-masing.

Mengulas lanjut, menurut Yadim, PDN turut menyentuh isu kekeluargaan melalui penganjuran program Simposium Solusi Kesihatan Mental daripada Perspektif Dakwah (SMILED) yang menghimpunkan lebih 300 mahasiswa dalam bidang psikologi, dakwah dan psikotrapi Islam.

Tambahnya, selain simposium, pada 1 Oktober lalu turut diadakan program sumbangan makanan sejuk beku kepada 80 keluarga di sekitar daerah Kuala Langat, hasil kerjasama SAY dengan rakan strategik mereka.

Antara lokasi yang disantuni termasuklah di Kampung Endah, Kampung Tongkah dan sekitar Morib.

Agihan sumbangan dari kakitangan YADIM.

Dalam pada itu, Yadim mengulas, mereka turut mengadakan program turun padang bagi membantu mangsa banjir di Derang dan Alor Setar, Kedah pada 26 September.

"Lokasi jelajah ini termasuklah di Kedah pada 25 September, Johor pada 28 hingga 30 September, Pahang pada 2 Oktober, Negeri Sembilan pada 9 Oktober, Sarawak pula pada 14 Oktober dan Perak pada 15 Oktober.

"Turut diadakan ialah program turun padang bagi membantu mangsa-mangsa banjir. Program tersebut telah diadakan di Derang dan Alor Setar, Kedah pada 26 September.

"Mereka yang terkesan tersebut dibantu dengan program Cuci- Cuci selain pemberian kit kebersihan dan sedikit wang tunai.

"Program ini turut disertai oleh Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr Zulkifli Hasan yang menyampaikan sejumlah 50 Bakul Madani untuk mangsa-mangsa banjir terlibat,” ujarnya.

Sementara itu, Yadim berkata, komuniti Orang Asli juga tidak ketinggalan dalam program PDN 2024.

Menurutnya, lebih 200 belia dan kanak-kanak menyertai pelbagai pengisian yang disediakan seperti sukaneka, penyampaian bakul makanan, kelas jawi dan fardu ain.

"Komuniti Orang Asli turut mengikuti program Jejak Persahabatan Bersama Komuniti Orang Asli Kampung Tonggang, Ulu Kinta, Perak pada 19 Oktober,” katanya.