KUANTAN - Seorang pesara kerugian RM478,050 gara-gara terpedaya dengan sindiket penipuan pelaburan tidak wujud yang menawarkan keuntungan sehingga 300 peratus.
Ketua Polis Pahang, Datuk Seri Yahaya Othman berkata, mangsa berusia 69 tahun tertarik dengan tawaran pelaburan yang dilihat menerusi aplikasi Facebook pada 16 Julai lalu.
Menurutnya, mangsa telah berurusan dengan suspek sebelum diberikan pautan untuk muat turun sistem pelaburan tersebut.
"Mangsa diberikan latihan pelaburan itu oleh suspek melalui aplikasi WhatsApp bagi membantu mendapat keuntungan sehingga 300 peratus daripada jumlah saham yang dilabur.
"Dalam tempoh 10 September hingga 22 Oktober lalu, mangsa telah membuat 33 transaksi pemindahan wang melalui empat akaun bank yang diberikan suspek dengan jumlah pelaburan mencecah RM478,050," katanya melalui kenyataan pada Jumaat.
Yahaya berkata, selepas bayaran itu dibuat menggunakan wang simpanannya, mangsa mula curiga dan syak ditipu apabila wang yang dilabur tidak dapat dikeluarkan.
"Orang ramai dinasihatkan supaya tidak mudah terpedaya dengan tawaran pelaburan atas talian yang menjanjikan keuntungan tinggi.
"Mereka juga diingatkan supaya membuat semakan nombor akaun yang diterima melalui pautan https://semakmule.rmp.gov.my/ terlebih dahulu sebelum membuat sebarang transaksi," ujarnya.