Pesakit mental 'kalis' undang-undang, bebas hukuman?

Iklan
Secara asasnya, seseorang yang didapati tidak siuman atau mengalami masalah kesihatan mental, tidak secara automatik bebas daripada tindakan undang-undang. Gambar hiasan

KUALA LUMPUR - Insiden tiga penuntut Universiti Teknologi Mara (UiTM) Dungun, Terengganu yang maut akibat dirempuh kereta yang dipandu oleh seorang pemandu wanita baru-baru ini begitu menyentuh hati ramai pihak selain tidak kurang juga berasa terkilan dengan apa yang berlaku.

Pemandu wanita yang menyebabkan kemalangan itu didakwa tidak siuman atau mengalami masalah kesihatan mental dan alasan sedemikian bukanlah satu perkara baharu kerana banyak kejadian seumpamanya berlaku sebelum ini, bahkan turut melibatkan kes pembunuhan.

Iklan
Iklan

Apa yang mencetuskan kebimbangan masyarakat ialah apabila berlaku sesuatu jenayah melibatkan mereka yang didakwa mengalami masalah kesihatan mental, ia berkemungkinan menjurus kepada tiada pembelaan wajar terhadap mangsa dan keluarga, atas alasan, pelaku tidak berada dalam keadaan mental yang waras.

Benarkah dakwaan bahawa individu yang tidak siuman atau mengalami masalah kesihatan mental ini ‘kalis’ undang-undang dan bebas daripada dikenakan hukuman?

Iklan

Tidak bebas secara automatik

Merungkai isu ini, peguam Dr Mahmud Abdul Jumaat berkata, isu pelaku dengan status demikian dalam kes jenayah adalah satu perkara yang kompleks, namun secara asasnya, seseorang yang didapati tidak siuman atau mengalami masalah kesihatan mental, tidak secara automatik bebas daripada tindakan undang-undang.

Iklan

Menurut Mahmud, mengikut perundangan Malaysia, terdapat beberapa prinsip dalam Kanun Keseksaan dan Kanun Prosedur Jenayah yang diguna pakai bagi menangani isu pelaku yang tidak siuman atau mengalami gangguan mental.

"Seksyen 84 Kanun Keseksaan menjelaskan bahawa seseorang individu tidak bertanggungjawab atas jenayah yang dilakukan, jika pada masa kejadian dia tidak mampu memahami sifat perbuatannya disebabkan oleh ketidakwarasan.

"Bagaimanapun, sebelum seseorang disahkan tidak siuman atau mengalami masalah kesihatan mental, mahkamah akan merujuk kepada pakar psikiatri untuk membuat penilaian. Biasanya, pelaku akan dihantar ke hospital psikiatri untuk menjalani penilaian mental oleh doktor bertauliah.

"Proses ini adalah penting untuk menentukan sama ada pelaku benar-benar tidak berupaya secara mental pada masa kejadian. Setelah penilaian mental dilakukan, laporan psikiatri akan diserahkan kepada mahkamah. Mahkamah akan menilai laporan tersebut bersama-sama dengan bukti-bukti lain untuk menentukan sama ada pelaku layak untuk mendapatkan perlindungan di bawah Seksyen 84 Kanun Keseksaan,” katanya kepada Bernama baru-baru ini.

Mahmud yang berpengalaman kira-kira 12 tahun sebagai pengamal undang-undang berkata, dalam kes pelaku didapati tidak siuman, mahkamah boleh memerintahkan pelaku dihantar ke hospital psikiatri untuk rawatan dan bukannya dikenakan hukuman penjara.

"Bagaimanapun, individu tersebut tidak semestinya dibebaskan. Pelaku mungkin akan ditempatkan di hospital psikiatri untuk suatu tempoh sehingga mereka pulih dan tidak lagi dianggap sebagai ancaman kepada masyarakat.

"Dalam hal ini, Akta Kesihatan Mental 2001 memainkan peranan penting dalam menangani isu kesihatan mental di Malaysia. Akta ini menetapkan prosedur berkaitan penjagaan, rawatan, kawalan dan pemulihan individu yang mempunyai masalah mental. Di bawah akta ini, individu yang didapati mempunyai masalah kesihatan mental boleh dihantar untuk rawatan, sama ada secara sukarela atau melalui perintah mahkamah,” katanya.

Beban pembuktian

Berkongsi contoh kes sebelum ini, Mahmud berkata, dalam kes Othman A Aziz pada tahun 2013, tertuduh didakwa di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh Ratna Suffizahriyanti Omar.

Beliau berkata, dalam kes itu, isu pembelaan ketaksempurnaan akal dikemukakan, yang juga berkait rapat dengan persoalan sama ada seseorang yang mempunyai masalah kesihatan mental atau tidak siuman boleh dikecualikan daripada tanggungjawab jenayah.

"Tertuduh mengaku membunuh si mati dan mengaku perbuatannya kepada saksi utama sebanyak dua kali. Walaupun pengakuan dibuat, tertuduh memberikan kenyataan tidak bersumpah dari kandang tertuduh bahawa dia tidak sedar apa yang berlaku setelah si mati memaklumkan kepadanya bahawa perkahwinan mereka tidak akan diteruskan, yang menyebabkan tertuduh hilang pertimbangan.

"Mahkamah memutuskan bahawa tertuduh gagal membuktikan pembelaan ketaksempurnaan akal. Laporan psikiatri yang mengesahkan tertuduh waras pada masa kejadian juga diperoleh walaupun tidak dikemukakan sebagai ekshibit (barang kes). Selain itu, mahkamah juga menilai tingkah laku tertuduh sepanjang perbicaraan dan mendapati tertuduh sentiasa berada dalam keadaan waras dan mampu memahami perbicaraan.

"Dalam kes ini, mahkamah merujuk kepada Seksyen 84 Kanun Keseksaan, yang memperuntukkan bahawa seseorang yang melakukan kesalahan semasa dia tidak siuman atau tidak mampu mengetahui tindakan itu salah atau bertentangan dengan undang-undang, boleh dikecualikan daripada tanggungjawab jenayah. Namun begitu, beban untuk membuktikan ketaksempurnaan akal terletak pada tertuduh, seperti yang dinyatakan dalam Seksyen 105 Akta Keterangan 1950. Dalam kes ini, tertuduh gagal untuk menunjukkan bukti yang mencukupi bahawa dia tidak siuman pada masa kejadian,” katanya.

Mahmud berkata, dalam undang-undang jenayah Malaysia, prinsip ketaksempurnaan akal boleh menjadi pembelaan dalam kes jenayah, termasuk pembunuhan.

Selain itu, Seksyen 84 Kanun Keseksaan melindungi individu yang benar-benar tidak dapat memahami perbuatannya kerana ketidaksiuman. Namun, seperti dalam kes ini, mahkamah akan menilai laporan psikiatri dan bukti sokongan lain sebelum membuat keputusan.

"Pembelaan ketaksempurnaan akal tidak bermaksud pelaku secara automatik akan dibebaskan. Mahkamah akan menilai sama ada tertuduh benar-benar tidak waras atau tidak menyedari tindakan yang dilakukan pada masa kejadian, berdasarkan bukti yang kukuh seperti laporan psikiatri dan tingkah laku tertuduh semasa perbicaraan.

"Dalam kes ini, tertuduh gagal untuk membuktikan ketaksempurnaan akal, dan mahkamah mendapati pengakuannya serta bukti lain cukup kuat untuk mensabitkan tertuduh di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan, yang membawa hukuman mati,” katanya.

Memberikan contoh kes lain, Mahmud berkata, berbeza dengan kes Sahifful Filzuad Sa’Don pada tahun 2018, mahkamah mendapati tertuduh yang didakwa di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh isterinya, Norini Abd Rahim, pada 20 Mac 2016, tidak siuman dan tertuduh ditahan di Hospital Permai, Johor Bahru.

Tertuduh dikatakan menikam isterinya beberapa kali serta mencekik lehernya sehingga menyebabkan kematian. Beberapa saksi termasuk anak-anak tertuduh, jiran, serta pakar forensik memberikan keterangan yang menyokong kes pendakwaan.

"Walau bagaimanapun, Sahifful Filzuad membangkitkan pembelaan tidak siuman di bawah Seksyen 84 Kanun Keseksaan, dengan mendakwa bahawa beliau mengalami gangguan mental ketika kejadian berlaku.

"Beliau didiagnosis menghidap gangguan bipolar dan mengalami delusi serta halusinasi yang mendorongnya untuk melakukan pembunuhan tersebut. Penilaian psikiatri mengesahkan ketidakstabilan mentalnya, dan bukti menunjukkan bahawa tindakan pembunuhan itu dilakukan di bawah pengaruh delusi yang dialaminya. Selepas menilai pembelaan tidak siuman, mahkamah mendapati bahawa Sahifful Filzuad berada dalam keadaan tidak siuman dari segi undang-undang pada masa kejadian dan tidak sedar bahawa perbuatannya adalah salah atau bertentangan dengan undang-undang.

"Oleh itu, mahkamah memutuskan untuk membebaskan tertuduh di bawah Seksyen 84 Kanun Keseksaan atas alasan gangguan mental. Walau bagaimanapun, dia diperintahkan untuk ditahan di Hospital Permai mengikut perkenan Sultan Johor, selaras dengan Seksyen 348 Kanun Prosedur Jenayah,” katanya.

Pinda Akta Kesihatan Mental 2001

Tidak menolak persepsi masyarakat bahawa pembelaan tidak siuman ini mungkin menimbulkan rasa ketidakpuasan hati kepada mangsa dan keluarga kerana tertuduh tidak dihukum dengan cara yang sama seperti penjenayah biasa, Mahmud bagaimanapun berkata, undang-undang ini bertujuan memastikan keadilan yang lebih luas yang bukan sahaja melindungi mangsa, tetapi juga mempertimbangkan keadaan mental tertuduh pada masa kejadian.

"Mahkamah tidak membebaskan tertuduh tanpa tindakan lanjut sebaliknya tertuduh diletakkan di bawah pengawasan dan rawatan psikiatri yang ketat. Oleh itu, walaupun kelihatan tertuduh 'terlepas' daripada hukuman penjara atau hukuman mati, undang-undang bertindak berdasarkan bukti perubatan yang menunjukkan tertuduh tidak mempunyai kemampuan mental untuk memahami atau mengawal perbuatannya.

"Keputusan ini juga melindungi masyarakat dengan memastikan tertuduh menerima rawatan yang sewajarnya dan berada di bawah pengawasan. Maka, pembelaan tidak siuman bukanlah 'tiket' untuk terlepas daripada hukuman, tetapi satu mekanisme undang-undang yang adil bagi menangani kes-kes di mana tertuduh tidak mempunyai kesedaran mental yang mencukupi,” jelasnya.

Ditanya mengenai tindakan undang-undang yang mungkin boleh dikenakan kepada ahli keluarga pelaku atas faktor pengabaian dan kecuaian sehingga mengakibatkan jenayah, Mahmud mencadangkan pindaan Akta Kesihatan Mental 2001 untuk memperkenalkan tanggungjawab khusus kepada ahli keluarga atau penjaga pesakit mental yang berisiko dengan memperincikan mekanisme pelaporan, kewajipan pengawasan dan hukuman bagi kecuaian atau pengabaian yang membawa kepada kejadian jenayah.

Sebagai contoh, katanya, perundangan boleh dipertingkatkan dengan menetapkan tanggungjawab jelas kepada ahli keluarga atau penjaga yang menjaga individu yang tidak siuman selain ahli keluarga boleh diwajibkan untuk melaporkan kepada pihak berkuasa kesihatan atau polis sekiranya mereka menyedari seseorang dalam keluarga mereka menunjukkan tanda-tanda tingkah laku berbahaya.

"Sekiranya ahli keluarga gagal mengambil langkah-langkah yang sewajarnya seperti memastikan rawatan berterusan atau pengawasan yang memadai, ahli keluarga boleh dikenakan tindakan undang-undang.

"Kerajaan juga boleh melaksanakan program pendidikan dan sokongan kepada ahli keluarga yang menjaga pesakit mental termasuk memberi panduan tentang cara menguruskan individu yang berisiko serta memudahkan akses kepada rawatan dan perkhidmatan kesihatan mental. Tanggungjawab ahli keluarga dalam situasi ini akan lebih berkesan sekiranya mereka diberikan pengetahuan dan bantuan yang mencukupi, ’’ jelasnya.

Beliau menambah, dalam kes tertentu, institusi kesihatan atau pihak berkuasa kesihatan mental juga perlu lebih proaktif untuk memastikan pesakit mental dengan risiko tinggi dipantau secara berterusan.

Kewajipan ini, katanya, boleh dikukuhkan melalui undang-undang yang mewajibkan hospital atau klinik kesihatan mental melaporkan kepada pihak berkuasa sekiranya pesakit menolak rawatan atau tidak mematuhi pelan rawatan.

Mahmud pada masa sama berkata, pendekatan oleh beberapa negara wajar dijadikan contoh untuk dipertimbangkan pelaksanaannya di Malaysia terutama yang melibatkan tanggungjawab keluarga serta pelaksanaan hukuman yang lebih adil.

"Di United Kingdom, Mental Health Act 1983 membenarkan pihak berkuasa untuk menahan individu yang mengalami gangguan mental yang boleh membahayakan diri sendiri atau orang lain, dan memastikan mereka menjalani rawatan yang diperlukan.

"Undang-undang ini memberi kuasa kepada pihak berkuasa kesihatan untuk memastikan pesakit mental dipantau dengan lebih ketat. Selain itu, Corporate Manslaughter and Corporate Homicide Act 2007 memperuntukkan hukuman kepada organisasi (termasuk penjaga) sekiranya terbukti bahawa terdapat kecuaian serius yang menyebabkan kematian akibat kegagalan memastikan individu tertentu, termasuk mereka yang memerlukan penjagaan khas, diuruskan dengan betul,” katanya.

Tambah beliau, di Australia, ahli keluarga yang menjaga pesakit mental mempunyai duty of care yang lebih jelas di bawah sistem kesihatan mental negara tersebut dan sekiranya mereka mengabaikan atau gagal menjaga individu yang berisiko membahayakan orang lain, mereka boleh dikenakan tindakan undang-undang di bawah akta berkaitan kecuaian.

"Pindaan Akta Kesihatan Mental 2001 harus dilakukan dan mengkaji semula takrifan"ketidaksiuman", dan kriteria yang membenarkan pelaku terlepas daripada hukuman. Mahkamah perlu memastikan bahawa pesakit mental yang terlibat dalam jenayah serius dikehendaki menjalani rawatan psikiatri di hospital selama tempoh yang ditetapkan.

"Di samping itu, sistem pengawasan untuk pesakit mental perlu diperkukuhkan, terutama bagi mereka yang pernah terlibat dalam kes jenayah. Penubuhan sistem pemantauan kesihatan mental yang berpusat dan melibatkan kerjasama antara hospital psikiatri, pihak berkuasa tempatan dan ahli keluarga dapat membantu mengurangkan risiko pesakit mental melakukan jenayah berulang,” katanya.

Proses penilaian rapi

Sementara itu, Ketua dan Pakar Perunding Kanan Psikiatri, Jabatan Perubatan Psikologi, Fakulti Perubatan Universiti Malaya, Prof Madya Dr Muhammad Muhsin Ahmad Zahari menegaskan, status kesihatan mental individu hanya boleh disahkan melalui pemeriksaan atau penilaian kesihatan mental.

Beliau berkata, rakaman video, gambar atau kenyataan di media sosial tidak mencukupi dalam menentukan seseorang itu berkemungkinan mempunyai gangguan mental yang serius yang boleh menjejaskan kebolehan mereka membuat keputusan.

Malah katanya, ramai yang menghidap penyakit mental seperti kemurungan dan kerisauan tidak sama sekali mengurangkan kebolehan mereka untuk melaksanakan pekerjaan harian termasuklah kebolehan atau kompetensi untuk memandu.

"Seseorang yang disahkan menghidap penyakit mental dan kemudian melakukan perbuatan melanggar undang-undang, terdapat kebarangkalian perbuatan tersebut berkait dengan atau disumbangkan oleh penyakit mental yang dialami. Seperti orang yang kena serangan jantung semasa memandu dan terlibat kemalangan, ia bukanlah dilakukan dengan niat dan sengaja.

"Begitu juga dengan seseorang yang mengalami penyakit mental, mereka sendiri tidak mahu (penyakit tersebut) dan apa-apa pelanggaran undang-undang yang berkaitan semasa mereka mengalami gejala atau simptom penyakit tersebut.

"Oleh itu, selepas melalui proses penilaian yang rapi, sekiranya insiden itu sah disebabkan oleh penyakit mental yang dialami, mereka akan dikecualikan daripada tanggungan jenayah atas perbuatan yang dilakukan. Ini kerana individu tersebut tidak berniat tetapi sebaliknya penyakit mental yang dialami mendorongnya melakukan perbuatan tersebut, ” katanya.

Menjelaskan bagaimana proses diagnosis kesihatan mental dijalankan, beliau berkata, dalam situasi biasa, pesakit atau keluarga akan datang atau membawa pesakit ke klinik untuk tujuan pemeriksaan.

Bagaimanapun, mengikut Seksyen 11 Akta Kesihatan Mental 2001, beberapa pihak boleh membantu membawa pesakit untuk mendapatkan penilaian dan rawatan seperti pihak polis dan pegawai Jabatan Kebajikan Masyarakat, dan dari sini, pesakit mungkin dirujuk kepada jabatan kecemasan di hospital bagi mendapatkan rawatan psikiatri dengan cepat.

"Proses penilaian pesakit termasuklah pengambilan sejarah pesakit yang komprehensif serta penilaian status mental pada ketika itu juga. Pemeriksaan penyakit fizikal yang lain seperti darah tinggi, status hormon seperti tiroid, penyakit saraf serta lain-lain penyakit juga perlu dibuat.

"Selepas itu, pesakit dan keluarga akan diberi maklumat berhubung apakah kemungkinan penyakit mental yang dihidapi. Terdapat juga situasi di mana pengesahan penyakit mengambil masa yang lebih panjang,” katanya menambah, rawatan berbentuk ubat-ubatan dan psikoterapi akan dipreskripsi kepada pesakit.

Menurut Dr Muhammad Muhsin, dalam kes melibatkan pelanggaran undang-undang seperti jenayah, permohonan bagi menentusahkan status pesakit dibuat oleh polis melalui borang Pol 59 selain mahkamah boleh memerintahkan seseorang menjalani pemeriksaan mental seperti Seksyen 342 Kanun Prosedur Jenayah.

Rekod kesihatan, doktor bertauliah

Turut menekankan kepentingan rekod kesihatan mental bagi individu yang berisiko, beliau mendedahkan, kerap kali berlaku pesakit yang menghidap penyakit mental selama bertahun-tahun lamanya namun tidak mendapatkan rawatan perubatan daripada pakar bertauliah.

Dalam kes melibatkan kematian tiga penuntut UiTM Dungun, Terengganu itu, tertuduh wanita berusia 49 tahun berkenaan didapati tidak mempunyai sebarang rekod kesihatan sama ada di hospital atau klinik kesihatan di negeri itu.

"Jadi tidak mustahil seseorang itu mengalami penyakit mental dalam tempoh yang lama tetapi tidak menerima rawatan. Di samping itu, biasa juga kita dapati, mereka ini ataupun ahli keluarga memilih untuk mendapatkan rawatan seperti berjumpa bomoh dan menjalankan rawatan secara tradisional untuk jangka masa lama.

"Ada juga yang tidak mendapatkan rawatan secara profesional di peringkat awal kerana stigma masyarakat yang menebal berhubung sakit mental ini adalah semata-mata gila, takut akan dilabelkan dengan perkara negatif, takut maruah individu dan keluarga akan tergugat.

"Selain itu kepercayaan seperti penyakit disebabkan oleh makhluk halus, gangguan mistik dan lain-lain masih sangat kuat bagi segelintir masyarakat. Rawatan perubatan psikiatri konvensional di peringkat awal sangat efektif dan boleh mencegah tahap penyakit menjadi lebih serius,” katanya menambah, tragis apabila pesakit semakin kronik dan menunjukkan perlakuan berbahaya, barulah timbul kesedaran untuk mendapatkan rawatan di hospital.

Dr Muhammad Muhsin berkata, menurut Tinjauan Kebangsaan Kesihatan dan Morbiditi 2023 simptom kemurungan dalam kalangan dewasa adalah sebanyak 4.6 peratus, iaitu meningkat hampir dua kali ganda dalam masa empat tahun manakala masalah kesihatan mental bagi kanak-kanak dan remaja (berumur lima hingga 15 tahun) adalah sebanyak 16.5 peratus.

"Ini merupakan cabaran bagi kita semua untuk memastikan peningkatan penyakit mental dalam masyarakat mendapat intervensi sewajarnya. Pandangan atau stigma negatif perlu diatasi supaya mereka yang berdepan dengan masalah kesihatan mental boleh mendapat rawatan di peringkat awal,” katanya. - Bernama