GEORGE TOWN - Seorang pengawal keselamatan mengaku bersalah di Mahkamah Majistret Jenayah 1 di sini terhadap pertuduhan mendatangkan kegusaran dalam kalangan masyarakat umum selepas membuat kenyataan palsu dalam siaran langsung di aplikasi TikTok pada Julai lalu.
Wan Ainsyatul Mime Wan Yuszaidi, 26, membuat pengakuan tersebut di hadapan Majistret, Siti Nurul Suhaila Baharin pada Jumaat.
Susulan daripada pengakuan tertuduh, Siti Nurul Suhaila kemudiannya menetapkan denda sebanyak RM4,000 dan jika gagal bayar, tertuduh akan dikenakan penjara selama sembilan bulan.
Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa dengan sengaja telah membuat kenyataan palsu melalui siaran langsung audio siar Rancangan Heart 2 Heart di aplikasi TikTok dengan menggunakan akaun bernama BGTV.
Oleh demikian, dia dituduh dengan niat hendak menyebabkan kegentaran kepada orang awam dengan mendorong pegawai penyiasat polis untuk melakukan siasatan bersabit satu kurungan salah yang dilakukan terhadapnya.
Dengan itu, tertuduh telah melakukan satu kesalahan yang boleh dihukum di bawah Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan.
Wan Ainsyatul dituduh melakukan kesalahan itu pada jam 3.30 petang, 26 Julai lalu di sebuah rumah di Pangsapuri Projek Perumahan Rakyat Ampang Jajar, Permatang Pauh, Seberang Perai Utara (SPU).
Kes dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Nurul Atikah Asharaf Ali manakala tertuduh diwakili Yayasan Biro Guaman Kebangsaan (YBGK), Naqieya Zulkernain.
Naqieya dalam rayuannya memohon agar mahkamah mengenakan denda yang minimum berikutan tertuduh merupakan ibu tunggal dan mempunyai dua anak yang masih kecil.
"Tertuduh berusia 26 tahun dan mempunyai dua anak berusia 4 tahun dan 11 bulan selain perlu menanggung ibunya yang sudah tua.
"Tertuduh hanya bekerja sebagai pengawal keselamatan dengan pendapatan RM1,600 sebulan. Tertuduh juga telah menyesal dan berjanji tidak akan mengulangi perbuatannya itu lagi," katanya.
Sementara itu, Nurul Atikah memohon mahkamah mengenakan denda yang tinggi terhadap tertuduh kerana perbuatan tertuduh boleh menyebabkan kegusaran dalam kalangan masyarakat.
Kata Nurul Atikah lagi, denda yang maksimum boleh memberi pengajaran kepada tertuduh agar tidak mengulangi perbuatannya selain memberi pengajaran kepada masyarakat supaya tidak menyalahgunakan media sosial.
"Saya memohon mahkamah mengambil kita kepentingan awam yang mana, tertuduh telah menggunakan media sosial untuk membuat kenyataan yang boleh mendatangkan kegusaran kepada orang ramai.
"Ini kerana, pada zaman sekarang, semua golongan menggunakan media sosial dan boleh melihat hantaran yang dibuat tertuduh," katanya.
Tambah beliau, perbuatan tertuduh juga telah mendatangkan impak negatif serta boleh menyebabkan berlakunya isu perkauman.
"Kesalahan yang dibuat boleh dan telah menyebabkan kegentaran orang awam selain akan mendatangkan kesan yang serius sekiranya tindakan penyebaran maklumat palsu ini diteruskan.
"Oleh itu, saya pohon satu hukuman setimpal dan berbentuk pengajaran supaya masyarakat lebih berhati-hati dalam memberikan maklumat yang betul di media sosial.
"Pengajaran itu bukan terhadap tertuduh sahaja malah kepada masyarakat umum agar tidak mencontohi tindakan tertuduh," tambahnya.
Difahamkan, tertuduh membayar denda berkenaan pada Jumaat.
Sebelum ini, satu klip video satu sesi audio siar tular di TikTok yang memaparkan pengakuan seorang wanita berusia 26 tahun mendakwa dia dipaksa menjadi pelacur di 'rumah merah' setelah bapanya berhutang dengan sindiket pinjaman wang tidak berlesen.
Pengakuan itu dibuat ketika wanita tersebut menghubungi pengendali audio siar yang mengupas mengenai isu komuniti ketika bersiaran langsung di TikTok.
Menurut wanita itu, bapanya berhutang sebanyak RM20,000 dan memberi alamat rumah di kampung selain menjadikan ibu serta adik beradiknya sebagai penjamin.
Dakwa wanita lagi, dia dijadikan pelacur oleh sindiket tersebut sejak Februari tanpa dibayar gaji selain mengaku bahawa ketika itu dia berada di Pulau Pinang.