'Tiada insiden cubaan culik, hanya salah faham' - Polis

Iklan
Polis mengesahkan tiada insiden cubaan culik seorang kanak-kanak lelaki di Taman Meru Perdana yang tular di media sosial baru-baru ini. Gambar kecil: Azizi

IPOH - Polis mengesahkan tiada insiden cubaan culik seorang kanak-kanak lelaki di Laluan Meru Perdana 13, Taman Meru Perdana di sini yang tular di media sosial baru-baru ini.

Ketua Polis Perak, Datuk Azizi Mat Aris berkata, siasatan mendapati kejadian itu hanya salah faham terhadap perbuatan lelaki yang menghampiri kanak-kanak berusia lima tahun itu.

Iklan
Iklan

Menurut beliau, suspek merupakan seorang lelaki warga tempatan berusia 35 tahun dan bekerja sebagai kontraktor.

"Polis menerima laporan daripada seorang warga tempatan berusia 44 tahun yang mendakwa terdapat cubaan culik anaknya oleh individu yang tidak dikenali di Kuala Kuang, Chemor di sini.

Iklan

"Tindakan diambil dan hasil siasatan terperinci yang dijalankan mendapati ibu kepada mangsa telah salah faham akan perbuatan suspek yang telah menghampiri dan memberikan wang tunai kepada mangsa," katanya dalam satu kenyataan di sini pada Jumaat.

Azizi berkata, semakan ke atas suspek mendapati dia tidak memiliki sebarang rekod jenayah lampau.

Iklan

"Tiada sebarang perlakuan kejadian cubaan culik sebagaimana yang dilaporkan di dalam daerah Ipoh.

"Pihak polis ingin menasihatkan kepada orang ramai tidak membuat sebarang spekulasi berkaitan kejadian ini bagi mengelakkan kekeliruan dan kegusaran masyarakat," katanya.

Tambahnya, tindakan tegas boleh diambil terhadap mana-mana individu yang menyebarkan berita palsu yang boleh menggugat ketenteraman awam di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.