SHAH ALAM - Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) menerusi Program Campus to Career (C2C) With PTPTN membantu menyediakan graduan berdaya saing.
Pengerusinya, Datuk Seri Norliza Abdul Rahim berkata, kolaborasi antara institusi pendidikan tinggi dan sektor industri dalam menganjurkan program pemerkasaan termasuk bengkel, seminar serta latihan membantu pelajar mempersiapkan diri untuk memasuki dunia pekerjaan.
Menurutnya, melalui pendekatan itu, PTPTN berharap ia bukan hanya mampu memperkasa pelajar dengan pembiayaan, tetapi juga kemahiran dan pengetahuan yang relevan untuk meningkatkan kebolehpasaran mahasiswa.
"Program C2C With PTPTN ini juga memberi pendedahan berkenaan kemahiran pengurusan kewangan yang sesuai dan relevan dengan keperluan semasa.
"Produk simpanan PTPTN iaitu Simpan SSPN merupakan antara pilihan bagi instrumen simpanan terbaik untuk persediaan pendidikan sebagai jaminan masa hadapan,” katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.
Mengulas lanjut, Norliza berkata, Program C2C With PTPTN ialah lanjutan daripada Program Literasi Kewangan dan Persediaan Kerjaya sejak 2022, namun telah ditambah baik dengan pengisian lebih komprehensif serta memberi manfaat kepada pelajar.
Tambah beliau, PTPTN akan sentiasa menyokong usaha memartabatkan sektor pendidikan tinggi negara dengan melaksanakan pelbagai program berimpak tinggi bagi membantu meningkatkan akademik dan kebajikan mahasiswa.
"Program ini juga merupakan antara usaha PTPTN dalam menunaikan tanggungjawab sosial korporat (CSR) bagi menyumbang kepada kebolehpasaran graduan yang berkualiti,” katanya.