SERAMAI 18 petinju termasuk dari Thailand, Ukraine dan Afghanistan berentap memburu gelaran dalam Kejohanan Muay Thai Antarabangsa Jengka 2024 di Stadium Tun Razak di Bandar Pusat Jengka di sini pada Sabtu.
Kejohanan anjuran Triple 9 Event Management Resources menyaksikan penganjuran buat julung kalinya di sini.
Pengurus kejohanan, Mohamad Hafizal Mahmood berkata, kelibat petinju Muay Thai kebangsaan, Ali Yaacob, Hakim Red Army dan Izat Zaki Ayma Pallas turut berentap dalam pertarungan tersebut.
Menurutnya, acara utama yang menjadi tumpuan adalah pertemuan Hakim Red Army menentang petinju Afghanistan, Navidullah Sampuri.
"Tahun ini kita telah menganjurkan tiga kejohanan termasuk di Jengka yang paling terbesar dan terakhir pada tahun ini.
"Kita menyasarkan 15,000 pengunjung untuk kejohanan ini yang sebenarnya telah berlangsung sejak 23 Oktober dengan pelbagai aktiviti menarik termasuk konsert sebelum kemuncaknya pada malam Sabtu ini," katanya.
Beliau berkata pada sidang akhbar di pekarangan stadium itu di sini pada Jumaat.
Ujarnya, kejohanan tersebut juga menjadi medan mencungkil bakat-bakat baharu dalam sukan lasak terbabit yang kini semakin menjadi tumpuan berikutan populariti jaguh Muay Thai negara dan bintang One Championship, Muhamad Johan Ghazali Zulfikar,18 atau lebih dikenali dengan panggilan Jojo.
"Semakin ramai ibu bapa menghantar anak-anak mereka menyertai latihan dan ini menjadi platform untuk kita melahirkan lebih ramai jaguh baharu," tambahnya.
Sementara itu, bagi petinju paling muda, Mohd Fahmi Irfan Mohd Fadli,18, yang mewakili Kelab Burung Antu Muaythai Gym 999 di Temerloh tidak menganggap umur sebagai penghalang untuk meraih tali pinggang kejohanan tersebut.
Berdepan Mohd Haiqal Mat Nor,22, dari Black Tiger Muaythai Gym Kelantan, Fahmi yang pernah berentap mewakili Terengganu di Sukan Malaysia (Sukma) di Sarawak baru-baru ini ingin menggunakan pengalaman sedia ada sebaik mungkin.
Sebanyak sembilan kelab tempatan dan luar negara berentap dalam kejohanan itu yang turut menawarkan cabutan bertuah utama hadiah wang tunai RM30,000 untuk pengunjung.