TFST pulihkan 371 projek perumahan bernilai lebih RM44 bilion hingga September

Iklan
Aiman Athirah. Foto Bernama

PUTRAJAYA - Task Force Projek Perumahan Swasta Sakit dan Terbengkalai (TFST) berjaya memulihkan 371 projek membabitkan 46,139 unit perumahan swasta dengan nilai pembangunan kasar (GDV) sebanyak RM44.59 bilion bagi tempoh 1 Januari hingga 30 September lepas.

Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Aiman Athirah Sabu berkata, jumlah projek yang berjaya itu merangkumi 348 projek yang telah memperoleh Sijil Perakuan Siap dan Pematuhan (CCC).

Iklan
Iklan

Selain itu, beliau berkata, 17 projek berstatus lewat kembali menjadi lancar dan enam projek terbengkalai berjaya dipulihkan melalui kaedah penyiapan projek hingga memperoleh CCC dan kaedah penyelesaian pembeli.

"Daripada jumlah pencapaian keseluruhan itu, 25 projek atau 4,813 unit rumah berjaya dipulihkan untuk tempoh 1 hingga 30 September lepas dengan nilai GDV sebanyak RM18.08 bilion," katanya dalam kenyataan di sini pada Jumaat.

Iklan

Beliau berkata, antara pencapaian TFST pada bulan ini adalah pengurangan daripada 114 projek terbengkalai tersebut, dengan satu projek terbengkalai berjaya dipulihkan iaitu projek perumahan Taman Sri Embun 1, Kuala Terengganu.

Beliau berkata, projek terbengkalai itu berjaya dipulihkan sehingga memperoleh CCC dan seterusnya berjaya dikeluarkan daripada senarai projek terbengkalai.

Iklan

Aiman Athirah berkata, sehingga 30 September lepas, TFST telah mengesan dan memantau 303 projek lewat, 379 projek sakit serta 113 projek terbengkalai.

Beliau berkata, terdapat penurunan dalam jumlah projek lewat dan terbengkalai berbanding laporan hingga 31 Ogos 2024, iaitu masing-masing satu penurunan daripada 304 projek kepada 303 projek dan 114 projek terbengkalai kepada 113 projek.

"Terdapat peningkatan 10 projek sakit kepada 379 projek pada Sept lepas berbanding bulan sebelumnya iaitu 369 projek sakit direkodkan,” katanya.

Aiman Athirah menegaskan lawatan tapak dan pemantauan secara rapi penting untuk memastikan kemajuan projek kerana pelbagai isu melibatkan pihak berkuasa tempatan, agensi teknikal dan agensi penyedia utiliti dapat diperhalusi bagi mencari penyelesaian terbaik.

Untuk itu, beliau berkata, hingga 30 September lepas sebanyak 33 projek telah dilawati, dengan lapan projek telah berjaya memperoleh CCC.

Beliau berkata, Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) sedang mempertimbangkan untuk melanjutkan pelantikan Lembaga Perumahan dan Hartanah Selangor (LPHS), Lembaga Perumahan dan Hartanah Perak (LPHP), Perbadanan Memajukan Iktisad Negeri Terengganu (PMINT) serta Indah Water Konsortium Sdn Bhd bagi mempercepatkan pemulihan 113 projek perumahan terbengkalai yang telah dikenal pasti. - Bernama