Perlis tawar insentif pelaburan menarik, pelawa pelabur tempatan, asing

Iklan
Tuanku Syed Faizuddin berkenan menerima menghadap delegasi dari Persatuan Usahawan China di Malaysia (PUCM) pada Khamis. Foto Istana Arau

KERAJAAN Perlis menawarkan insentif pelaburan menarik dalam usaha mempelawa pelabur tempatan dan asing ke negeri itu terutamanya bagi kluster industri halal, automotif, pembuatan hijau dan tenaga boleh baharu di Kawasan Perindustrian Lembah Chuping (CVIA).

Istana Arau dalam kenyataan memaklumkan usaha lain termasuk menawarkan 100 peratus pengecualian cukai pendapatan hingga 15 tahun, 100 peratus elaun cukai pelaburan (ITA) hingga 10 tahun serta pengecualian duti import dan duti setem.

Iklan
Iklan

"Maklumat berkenaan dipersembahmaklumkan oleh Setiausaha Bahagian Perancang Ekonomi Negeri Perlis (BPEN) Zuhair Jamaludin kepada Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail di Royal Selangor Golf Club (RSGC), Kuala Lumpur semalam,” menurut kenyataan itu.

Perjumpaan itu bersempena dengan sesi menghadap Raja Muda Perlis oleh delegasi daripada Persatuan Usahawan China di Malaysia (PUCM) yang diketuai Presiden PUCM, Datuk Keith Li.

Iklan

Turut hadir, Setiausaha Kerajaan Negeri Perlis, Datuk Rahimi Ismail dan Pengarah Eksekutif Penggalakan Pelaburan, Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA), Faizal Jalaludin.

Sementara itu, kenyataan berkenaan memberitahu PUCM turut menyatakan Perlis mempunyai potensi besar kerana terdapat sumber mineral semula jadi yang boleh diterokai secara bersama dengan kerajaan negeri khususnya dalam bidang berkaitan perlombongan dolomit yang berkualiti.

Iklan

"(Selain itu), projek berkaitan pembangunan ladang solar termasuk sektor logistik kerana lokasinya yang sangat strategik terletak bersebelahan dengan selatan Thailand.

"Pihak PUCM juga dimaklumkan mengenai insentif yang ditawarkan termasuk pegangan pajakan, premium tanah dan kelulusan prinsipal dalam tempoh 30 hari bagi pembangunan swasta,” menurut kenyataan itu.

Kenyataan itu memaklumkan Tuanku Syed Faizuddin Putra menzahirkan agar pertemuan berkenaan akan membuahkan hasil positif dan menggalakkan usahawan PUCM untuk meneroka peluang serta potensi pelaburan di Perlis.

Dalam pada itu, kenyataan berkenaan menjelaskan perbincangan terbabit turut merangkumi isu dua hala antara Malaysia dan China bagi prospek kerjasama perdagangan yang dapat mengeratkan hubungan kedua-dua negara. - Bernama