MDEA gesa kerajaan pertimbangkan semula sumbangan KWSP pekerja asing

Iklan
kenyataan media MDEA

SHAH ALAM - Persatuan Usahawan Dato’-Dato’ Malaysia (MDEA) menggesa kerajaan mempertimbangkan semula dasar mandatori sumbangan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) bagi pekerja asing.

Presiden MDEA, Datuk Seri Jacky Ker Cherk Yee berkata, ini kerana dasar itu menimbulkan risiko inflasi ketara kepada ekonomi Malaysia.

Iklan
Iklan

Menurutnya, menangguhkan atau menghapuskan sumbangan KWSP mandatori bagi pekerja asing akan membolehkan perniagaan kekal berdaya saing, melindungi pendapatan isi rumah dan mengelakkan tekanan inflasi yang boleh menjejaskan pemulihan ekonomi negara.

"Perkara utama yang menjadi kebimbangan ialah potensi peningkatan kos buruh. Keperluan perniagaan untuk menyumbang kepada KWSP pekerja asing mungkin akan meningkatkan kos operasi terutamanya dalam industri yang memerlukan tenaga buruh intensif.

Iklan

"Peningkatan kos ini kemudiannya membebankan pengguna, menyebabkan inflasi dan mengurangkan kuasa beli isi rumah Malaysia, terutamanya golongan berpendapatan B40 dan M40 yang sudah pun berdepan tekanan kewangan," katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Dalam pembentangan Belanjawan 2025 baru-baru, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyatakan bahawa kerajaan merancang untuk mewajibkan semua pekerja bukan warganegara mencarum ke dalam KWSP, yang akan dilaksanakan secara berfasa.

Iklan

Tambah Cherk Yee, menerapkan sumbangan KWSP mandatori bagi pekerja asing juga boleh menjejaskan kedudukan daya saing Malaysia di rantau ini.

Jelasnya, negara-negara seperti Singapura tidak mempunyai keperluan yang serupa, membolehkan perniagaan mereka beroperasi dengan kos buruh yang lebih rendah.

"Sebaliknya, dasar Malaysia boleh membawa kepada kehilangan daya saing, menjadikannya lebih sukar bagi perniagaan di sini untuk menarik pelaburan asing dan mengekalkan pasaran eksport yang kukuh.

"Ini juga boleh menjejaskan inisiatif yang lebih luas oleh kerajaan untuk meningkatkan kedudukan ekonomi global Malaysia," ujarnya.

Beliau memberitahu, selain itu dasar ini mungkin menjejaskan usaha kerajaan sendiri untuk merangsang pemulihan ekonomi.

"Apabila kos buruh meningkat, perniagaan mungkin menghadapi penurunan produktiviti dan keuntungan, yang boleh menghalang pertumbuhan ekonomi keseluruhan.

"Jika tidak ditangani, ini boleh menyebabkan penurunan hasil cukai, menjadikannya lebih sukar untuk memenuhi sasaran fiskal seperti pengurangan defisit bajet," jelasnya.