Hujan lebat, ribut diramal berlaku di Terengganu

Iklan
Hujan lebat dan ribut diramal berlaku pada sebelah petang dan awal malam di Terengganu susulan ramalan cuaca signifikan berkenaan Ribut Tropika Trami yang sedang aktif di Laut China Selatan.Gambar hiasan

KUALA TERENGGANU - Hujan lebat dan ribut diramal berlaku pada sebelah petang dan awal malam di negeri ini susulan ramalan cuaca signifikan berkenaan Ribut Tropika Trami yang sedang aktif di Laut China Selatan.

Pengarah Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) Terengganu, Rosli Zakaria berkata, ribut itu dijangka bergerak ke Barat menghala ke Vietnam dan keadaan tersebut menyebabkan peningkatan kelajuan angin di rantau negara sehingga 28 Oktober depan.

Iklan
Iklan

Sehubungan itu, katanya, rakyat negeri ini dinasihatkan agar sentiasa berwaspada dengan kejadian garis badai yang akan menyebabkan berlakunya hujan lebat dan angin kencang dalam tempoh terdekat.

"Ramalan cuaca signifikan telah dikeluarkan pagi tadi (Jumaat) berkaitan Ribut Tropika Trami yang sedang aktif di Laut China Selatan.

Iklan

"Hujan lebat dan ribut kemungkinan berlaku di negeri Terengganu terutama pada waktu petang dan awal malam sehingga ribut tersebut berakhir.

"Ia juga berpotensi membawa hujan berterusan di Sabah serta membentuk garis badai di Utara dan Pantai Timur Semenanjung dalam tempoh tersebut," katanya ketika dihubungi di sini pada Jumaat.

Iklan

Dalam perkembangan sama, beliau berkata, amaran Ribut Tropika Trami tidak mempunyai kaitan dengan Monsun Timur Laut kerana tempoh MTL di negeri ini masih belum bermula.

Bagaimanapun, katanya, orang ramai dinasihatkan agar tidak terlalu panik dengan ramalan cuaca yang dikeluarkan oleh sumber tidak sah di media sosial seperti ditularkan sejak malam Khamis.

"Kebanyakan ramalan cuaca yang dibuat oleh pelbagai pihak selain MetMalaysia telah disensasikan dan menimbulkan panik sehingga boleh menjejaskan aktiviti harian.

"Tidak salah untuk dijadikan rujukan sebagai langkah berjaga-jaga namun perlu juga merujuk kepada MetMalaysia untuk info cuaca yang sahih.

"Orang ramai boleh mendapatkan amaran cuaca terkini yang sahih dari web rasmi jabatan untuk perkembangan terkini," ujarnya.