Kor Ming minta polis siasat isu kibar bendera China

Iklan
Nga Kor Ming (kiri), Tangkap layar memaparkan tindakan peserta mengibar bendera negara China pada sambutan Guan Gong Sedunia di Teluk Intan, Khamis. - Foto: Ihsan pembaca

IPOH - Pengerusi DAP Perak, Nga Kor Ming menyerahkan kepada polis untuk bertindak berhubung penyebaran video perarakan mengibar bendera China dalam sambutan Guan Gong Sedunia di Teluk Intan pada malam Khamis.

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan itu berkata, satu siasatan segera perlu dilakukan bagi mengelak timbulnya salah faham dan spekulasi kurang senang dalam kalangan rakyat.

Iklan
Iklan

Menurutnya, siasatan itu termasuklah ke atas individu dan parti politik lain yang cuba mengambil kesempatan ke atas kes tersebut dengan menghasut kebencian antara kaum.

"Semua pihak perlu menjaga keharmonian masyarakat berbilang kaum dan menjulang kedaulatan undang-undang negara.

Iklan

"Dalam hal ini, kita minta polis siasat dan ambil tindakan segera terhadap semua pihak termasuk Pas yang kita lihat cuba menyebar perkara tidak benar," katanya kepada Sinar Harian pada Jumaat.

Sementara itu, Ketua Polis Perak, Datuk Azizi Mat Aris memaklumkan sidang media berkaitan insiden itu akan diadakan pada jam 8 malam ini.

Iklan

Terdahulu, media melaporkan Pas Perak menggesa pihak berkuasa menyiasat insiden tular bendera China dikibarkan dalam satu sambutan berhampiran Menara Condong Teluk Intan.

Pesuruhjayanya, Razman Zakaria berkata, perkara itu menyalahi Seksyen 3 Akta Lambang Kebangsaan (Kawalan Mempamer) 1949 iaitu tiada seorang pun boleh mempamer mana-mana lambang kebangsaan termasuk bendera negara asing di tempat awam atau di sekolah.

Justeru, beliau menyifatkan tindakan terbabit boleh dianggap sebagai satu tindakan provokasi yang mencabar kedaulatan dan keharmonian negara.

Pada masa sama, pihak penganjur tampil memohon maaf susulan video tular perarakan sambil mengibar bendera China dalam sambutan Guan Gong Sedunia itu.

Pengerusi Persatuan Kebudayaan Guan Gong, Soon Boon Hua berkata, perbuatan itu dilakukan oleh peserta rombongan daripada China yang menyertai perarakan sambutan berkenaan.