Kerajaan digesa laksana audit, semakan projek mega

Iklan
Pengawasan yang ketat amat diperlukan bagi meminimumkan risiko penyelewengan serta meningkatkan akauntabiliti dalam melaksanakan projek mega. - Gambar hiasan

SHAH ALAM - Kerajaan digesa untuk melaksanakan audit dan semakan prestasi berkala terhadap projek mega dalam negara agar penggunaan dana awam dilaksanakan dengan penuh tanggungjawab serta akauntabiliti.

Rasuah Busters berkata, penggunaan dana awam dalam projek mega seperti lebuh raya, empangan dan pembangunan infrastruktur sering dikaitkan dengan kontroversi, potensi salah urus serta penyalahgunaan kuasa.

Iklan
Iklan

"Oleh itu, pengawasan yang ketat amat diperlukan bagi meminimumkan risiko penyelewengan serta meningkatkan akauntabiliti.

"Bagi memastikan projek-projek ini benar-benar bermanfaat kepada rakyat, kami menekankan kepentingan tender terbuka, proses perolehan ketat dan persaingan yang berasaskan merit,” katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Iklan

Sebelum ini, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan sekarang bukan masanya melaksanakan projek mega, sebaliknya pembangunan negara akan menumpukan kepada projek-projek berkepentingan rakyat.

Beliau berkata, tumpuan pembangunan negara juga kepada kemudahan yang menyokong kawasan perindustrian mengikut keutamaan negeri.

Iklan

Dalam pada itu, Rasuah Busters memaklumkan, pihaknya menegaskan komitmen penuh diperlukan terhadap ketelusan dan tadbir urus baik dalam perancangan, pembiayaan serta pelaksanaan projek mega di Malaysia.

"Pengawasan Parlimen secara efektif dalam memantau, menyemak dan membahaskan projek mega juga tidak boleh diabaikan.

"Wakil rakyat harus diberi kuasa untuk memastikan ketelusan dalam pemilihan kontraktor, pembiayaan dan perolehan dengan keputusan akhir yang dibuat berdasarkan kepentingan negara bukannya kepentingan peribadi,” ujarnya.

Mengulas lanjut, projek mega perlu dinilai secara berkala bagi membandingkan keberkesanan kos melalui rangka kerja yang telus.

Jelasnya, ia termasuk memantau kontrak yang dirundingkan secara terus terhadap pinjaman asing dan struktur pembiayaan projek kompleks supaya dapat dibuka kepada penelitian awam serta menggalakkan penglibatan masyarakat sivil.

"Langkah tersebut penting untuk memastikan setiap projek mematuhi piawaian perolehan pada tahap optima. Kegagalan pengawasan projek mega akan memberikan implikasi ekonomi dan sosial yang besar kepada negara.

"Maka prinsip ketelusan dan integriti adalah keutamaan dalam meluluskan projek mega di Malaysia,” katanya.