Sharifah Khasif pernah diminta buka tudung

Iklan
DARI KIRI: Sharifah Khasif, Didiyana dan Sherry pada program Borak Bibir Merah Sinar Harian Siri 2 yang membincangkan tajuk, Diskriminasi Wanita Berhijab baru-baru ini.

BERBICARA tentang isu diskriminasi wanita berhijab di negara ini, personaliti agama, Sharifah Khasif Fadzillah Syed Badiuzzaman atau Sharifah Khasif mempunyai pengalaman peribadi.

Tutur wanita berusia 38 tahun itu, usai menamatkan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) beliau dan beberapa orang rakan memohon pekerjaan di sebuah hotel bertaraf lima bintang.

Iklan
Iklan

"Ketika itu masing-masing teruja untuk bekerja dan memperoleh gaji sendiri. Lalu kami menghantar permohonan kepada hotel terbabit untuk bertugas di kaunter hadapan.

"Malangnya, pihak pengurusan menolak permohonan kami dengan alasan staf wanita bertudung tidak dibenarkan berkhidmat di kaunter. Jika saya berkeras juga untuk jawatan itu, maka tudung perlu ditanggalkan. Sebagai wanita Islam adalah mustahil membuka hijab semata-mata memenuhi polisi ditetapkan,” jelas beliau pada program Borak Bibir Merah Sinar Harian Siri 2 yang membincangkan tajuk Diskriminasi Wanita Berhijab baru-baru ini.

Iklan

Hadir sama dalam program bual bicara isu kewanitaan, kanak-kanak dan keluarga itu, pelakon dan usahawan, Sherry Ibrahim dan penata gaya hijab, Didiyana Ehsan.

Tambah Sharifah Khasif, meskipun impiannya tidak kesampaian, namun beliau dan rakan-rakan tetap diterima bekerja di bahagian dapur hotel tanpa perlu menanggalkan tudung.

Iklan

"Bertudung adalah wajib kerana ia dituntut dalam Islam. Jika kita berdepan dengan sebarang isu diskriminasi jangan melatah, sebaliknya kuatkan hati demi melunaskan tanggungjawab pada ALLAH.

"Yakinlah, sekiranya kita berjuang demi-NYA, insya-ALLAH rezeki yang hadir akan berlipat ganda. Justeru, jangan takut untuk berubah biarpun kebaikan itu dalam keadaan keterpaksaan,” saran beliau yang anggun menyarungkan jubah rona kelabu.

Sementara itu, Sherry atau nama sebenarnya Syarizah Ibrahim, bersyukur apabila keputusannya berhijab tatkala tawaran berlakon bertali arus merupakan percaturan terbaik.

Biarpun melakukan timbang tara dalam tempoh kurang seminggu, tetapi anak sulung daripada tiga beradik itu percaya rezeki di tangan ALLAH, bukan di tangan produksi.

"Tidak dinafikan, ada yang mempertikai keputusan (berhijab) ini kerana menyifatkan sukar untuk berpatah balik. Tiada apa yang perlu dikesali kerana saya sudah nekad menuruti perintah ALLAH walaupun masih banyak kekurangan harus diperbaiki.

"Lagipun team produksi hari ini semakin peka dan bijak menyusun watak mengikut kesesuaian penampilan pelakon berhijab. Sebelum ini misalnya, saya pernah ditawarkan peranan utama, namun terpaksa menolak kerana tidak manis dengan imej bertudung. Terharunya, mereka (produksi) tidak menggugurkan nama saya, sebaliknya mereka mencipta watak baharu yang lebih sesuai,” ujar wanita berusia 36 tahun itu yang hampir empat tahun berhijrah.