Rakyat Sri Lanka dedah aktiviti haram pelancong Israel

Iklan
Polis Sri Lanka mempertingkatkan kawalan keselamatan di lokasi seperti Colombo, Ella dan Weligama berikutan laporan mengenai kemungkinan ancaman kepada pelancong Israel. Foto AFP

NEW DELHI - Rakyat Sri Lanka menonjolkan aktiviti haram yang dilakukan oleh pelancong Israel di negara kepulauan itu berikutan amaran keselamatan dari Amerika Syarikat mengenai kemungkinan serangan di kawasan percutian utama.

Ramai netizen di media sosial menunjukkan warga Israel menjalankan perniagaan tanpa kebenaran di kawasan Arugam Bay dan tempat-tempat lain dengan melanggar undang-undang dan peraturan pemilikan Sri Lanka.

Iklan
Iklan

"Kegiatan haram oleh pemilik perniagaan Israel telah berlarutan terlalu lama. Walaupun banyak rayuan telah dibuat kepada pelbagai kerajaan untuk menghentikan perkara ini dan memastikan persaingan yang adil, permintaan tersebut tidak diendahkan," kata Rehan Jayawickreme, ahli politik daripada parti Samagi Jana Balawegaya, dalam satu kenyataan.

"Sekarang, kami menghadapi ancaman keselamatan serius yang boleh menjejaskan usaha pemulihan pelancongan Sri Lanka," katanya.

Iklan

Kedutaan Amerika Syarikat di Colombo pada Rabu menyatakan bahawa ia telah menerima maklumat yang boleh dipercayai yang memberi amaran mengenai serangan yang menyasarkan lokasi pelancongan popular di kawasan Arugam Bay.

Kedutaan itu meminta warganegara AS supaya mengelakkan kawasan Arugam Bay, yang popular dalam kalangan warga Israel.

Iklan

Selain daripada Arugam Bay, polis Sri Lanka mempertingkatkan kawalan keselamatan di lokasi seperti Colombo, Ella dan Weligama berikutan laporan mengenai kemungkinan ancaman kepada pelancong Israel.

Perhatian kini tertumpu kepada aktiviti warga Israel di Sri Lanka.

"Mengapa warganegara Israel dibenarkan tinggal di sini, melebihi tempoh visa mereka, menjalankan perniagaan haram di selatan?" tanya Jamila Husain, ketua pengarang Daily Mirror.

"Media telah melaporkan perkara ini beberapa kali. Tetapi komuniti Israel terus berkembang. Sehingga perniagaan tempatan turut terjejas," katanya.

Kemasukan pelancong Israel dalam sembilan bulan pertama tahun ini berjumlah 20,515 daripada hampir 1.5 juta pelancong asing, menurut Pihak Berkuasa Pembangunan Pelancongan Sri Lanka (SLTDA).

"Kami mendapat maklumat bahawa sejumlah besar warganegara Israel kini tinggal di Sri Lanka tanpa visa sah, saya menggesa kerajaan untuk segera menyiasat perkara ini," kata bekas Gabenor Wilayah Barat, Azath Salley.

Beliau turut menyatakan kebimbangan terhadap warga Israel yang mendirikan pusat komuniti 'Chabad houses' berdekatan dengan masjid.

Warga Israel juga dikritik kerana berkelakuan seperti 'peneroka kolonial' dan membahayakan pemulihan industri pelancongan di Sri Lanka.

Jayawickreme berkata, pelaksanaan sekatan jalan yang ketat di Weligama menyebabkan pelancong berasa bimbang mengenai keselamatan mereka.

"Kepada warga Israel yang mencetuskan ketidakstabilan ini, saya ingin tegaskan, anda tidak boleh menduduki tanah kami secara paksa dan haram seperti di tempat lain. Anda juga tidak boleh menjalankan perniagaan haram yang merosakkan peluang orang lain," katanya.

Sesetengah pihak di Sri Lanka melihat nasihat kedutaan AS sebagai usaha untuk meredakan tuntutan penduduk tempatan agar aktiviti haram oleh warga Israel dihentikan. - Bernama