Kanak-kanak melecur di bilik jana kuasa elektrik kembali ke sekolah

Iklan
Mohd Darwisy tetap bersemangat untuk ke sekolah walaupun keadaannya masih lemah dan tidak seaktif dahulu.

GEORGE TOWN - Walaupun masih kurang berkeyakinan untuk berjumpa rakan-rakan dengan keadaan tiub masih tertanam di leher, Mohd Dawisy Zarif Mohd Khairi tetap memulakan sesi persekolahannya sejak seminggu lalu.

Mohd Dawisy yang kini berusia 13 tahun adalah kanak-kanak yang melecur seluruh badan selepas terkena renjatan elektrik dari bilik jana kuasa Tenaga Nasional Berhad (TNB) di Taman Sri Bayu, Bayan Lepas tahun lalu.

Iklan
Iklan

Ibunya, Suhana Samsudin, 38, berkata, Mohd Dawisy kini semakin sihat namun perlu memakai pakaian khas untuk menutup bahagian kulit tangannya terutamanya ketika berada di luar rumah termasuk ke sekolah.

Menurutnya, anak bongsunya yang mesra dipanggil Adik itu amat gembira apabila dapat kembali ke sekolah walaupun keadaannya tidak seperti dahulu.

Iklan

"Sudah lebih seminggu Mohd Dawisy ke Sekolah Menengah Kebangsaan Bayan Lepas, alhamdulillah dia okey. Cuma dia malu sikit kerana keadaannya tidak seperti dahulu terutamanya dalam keadaan tiub masih dipasang di lehernya.

"Walaupun begitu, dia masih bersemangat untuk ke sekolah setelah lebih setahun tidak bersekolah, bertemu dengan rakan-rakan dan guru," katanya ketika dihubungi pada Jumaat.

Iklan

Suhana menambah, dia bersyukur kerana rakan-rakan dan para guru di sekolah sangat positif dan menerima keadaan anaknya seperti dahulu.

"Kawan-kawannya sangat memberi semangat. Namun saya ada berpesan kepada guru dan pengetua sekolah supaya memberitahu rakan-rakan Mohd Darwisy agar tidak bertanya tentang insiden yang lalu.

"Saya bimbang dia akan patah semangat kerana selepas insiden itu, dia agak sensitif," ujarnya.

Beliau berkata lagi, walaupun Mohd Darwisy sudah ke sekolah, dia tidak membenarkan anaknya itu untuk aktif dalam aktiviti sukan.

Mohd Darwisy telah memulakan sesi persekolahan sejak lebih seminggu lalu.

"Dia hanya menjalani sesi persekolahan sahaja. Ada lah dia bermain bola dengan abangnya tetapi tidak terlalu lasak kerana dia masih lemah.

"Selain itu, dia mengalami kesukaran untuk menulis kerana dia kidal dan tangan kirinya turut tercedera," tambahnya.

Suhana berkata, usikan abang kembarnya, Mohd Danish Zarif juga salah satu peniup semangat kepada Mohd Darwisy untuk kembali ke sekolah.

"Abang kembarnya selalu mengusik, jika (dia) tak pergi sekolah, tak paksa menulis, nanti tidak boleh sama-sama naik tingkatan. Sebab itu dia tekad untuk menulis juga.

"Jika ikutkan, selain kedua-dua tangan, muka dia juga terkena renjatan elektrik cuma di kulit muka, doktor memberi krim khas dan menyuntik vitamin C," katanya.

Ditanya mengenai proses pemulihan, Suhana berkata, dia sekeluarga perlu mengambil masa untuk memulihkan semangat anaknya itu.

"Agak mencabar dan mengambil masa juga untuk memulihkan semangatnya. Ketika dibenarkan pulang ke rumah selepas sebulan dirawat di Unit Rawatan Rapi Hospital Pulau Pinang, dia tak mahu pulang ke rumah.

"Dia kata dia takut, mungkin fobia dengan apa yang berlaku. Tetapi setelah perlahan-lahan kami sekeluarga menenangkan dia, sekarang dia sudah okey, alhamdulillah," katanya.

Pada petang 16 November tahun lalu, seorang kanak-kanak lelaki dilaporkan melecur seluruh badan selepas terkena renjatan elektrik dari bilik jana kuasa TNB di Taman Sri Bayu, Bayan Lepas.

Dalam kejadian pada jam 4.55 petang, kanak-kanak berusia 12 tahun tersebut dikatakan masuk ke bilik jana kuasa itu untuk mengambil bola yang terjatuh ke dalam kawasan berkenaan sebelum terkena renjatan elektrik.

Mangsa mengalami kecederaan itu selepas tersentuh perkakasan elektrik di dalam bilik jana kuasa elektrik TNB.