Malaysia sebagai negara rakan BRICS berpeluang tingkat perdagangan, hubungan dua hala

Iklan
Fahmi ketika menghadiri sidang media mingguan Menteri Komunikasi di Kementerian Komunikasi, pada Jumaat. Foto Bernama

PUTRAJAYA - Pemilihan sebagai antara negara rakan dalam BRICS membuka peluang untuk Malaysia meningkatkan perdagangan dan hubungan dua hala dengan kalangan negara anggota blok itu, kata Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil.

Beliau berkata, negara juga menyambut baik penerimaan BRICS terhadap Malaysia sebagai antara negara rakan rasmi BRICS.

Iklan
Iklan

"...kita tidak bincang secara khusus (dalam mesyuarat Kabinet). Ini adalah pemakluman awal dan belum lagi dibincangkan secara mendalam. Tapi semestinya kita mengalu-alukan penerimaan Malaysia sebagai sebahagian daripada negara rakan dalam konteks BRICS,” katanya dalam sidang media selepas mesyuarat Jemaah Menteri di sini, pada Jumaat.

Semalam Bernama melaporkan Malaysia kini diiktiraf sebagai satu daripada 13 negara rakan yang ditambah secara rasmi dalam BRICS, sebuah blok yang secara kolektif menyumbang satu per lima kepada perdagangan global.

Iklan

Memetik kemas kini oleh @BRICSInfo menerusi platform media sosial X, blok itu secara rasmi menambah 13 negara baharu kepada pakatan itu sebagai negara rakan, walaupun belum lagi sebagai ahli penuh.

Selain Malaysia, 12 negara lain adalah Algeria, Belarus, Bolivia, Cuba, Indonesia, Kazakhstan, Nigeria, Thailand, Turki, Uganda, Uzbekistan dan Vietnam.

Iklan

Sebagai rekod, pada 28 Julai lepas, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengesahkan Malaysia telah mengemukakan permohonan kepada Rusia untuk menyertai pertubuhan antara kerajaan BRICS.

Rusia kini mempengerusikan blok itu, yang turut merangkumi Brazil, India, China dan Afrika Selatan.

Pada 18 Jun lepas, Anwar mengesahkan hasrat Malaysia untuk menyertai BRICS semasa perbincangan dengan Presiden Brazil Luiz Inacio Lula da Silva.

BRICS mewakili kira-kira 40 peratus daripada populasi global dan secara kumulatif menyumbang kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) sebanyak AS$26.6 trilion (RM115.4 trilion) atau 26.2 peratus daripada KDNK dunia, hampir menyamai kekuatan ekonomi kumpulan G7.

Menteri Ekonomi Rafizi Ramli telah menyampaikan Kenyataan Negara pada Sidang Kemuncak BRICS Outreach/BRICS Plus di Kazan, Rusia semalam. - Bernama