Tiada rakyat Malaysia terjejas akibat Taufan Kristine di Filipina setakat ini

Iklan
Taufan Tropika Kristine (Trami) telah membawa hujan lebat dan menyebabkan banjir serta tanah runtuh, mengakibatkan beberapa kematian, kecederaan dan pemindahan ratusan keluarga.

PUTRAJAYA - Setakat ini, tiada rakyat Malaysia terlibat atau terjejas akibat Taufan Tropika Kristine (Trami) yang telah menyebabkan banjir besar, tanah runtuh dan mengakibatkan ratusan penduduk di Filipina dipindahkan.

Dalam satu kenyataan, Kementerian Luar yang juga dikenali sebagai Wisma Putra, memaklumkan bahawa setakat Jumaat, isyarat angin bagi Taufan Kristine yang dikategorikan sebagai siklon tropika Tahap Dua, masih aktif di Metro Manila dan kawasan-kawasan di seluruh Luzon.

Iklan
Iklan

Kementerian itu menyatakan bahawa taufan berkenaan dijangka keluar dari kawasan di bawah tanggungjawab Filipina pada Jumaat.

"Kementerian Luar melalui Kedutaan Besar Malaysia di Manila, sedang memantau rapi perkembangan Taufan Tropika Kristine (Trami) yang telah membawa hujan lebat dan menyebabkan banjir serta tanah runtuh, mengakibatkan beberapa kematian, kecederaan dan pemindahan ratusan keluarga.

Iklan

"Setakat ini, tiada rakyat Malaysia dilaporkan terlibat atau terjejas akibat taufan berkenaan,” menurut kenyataan itu.

Kementerian Luar menasihatkan rakyat Malaysia di kawasan terjejas supaya sentiasa berwaspada dan mengikuti perkembangan serta panduan terkini yang disediakan oleh pihak berkuasa tempatan.

Iklan

Rakyat Malaysia yang memerlukan bantuan konsul boleh menghubungi Kedutaan Besar Malaysia di Manila di Salcedo Village, 107 Tordesillas, Makati, 1227 Metro Manila, atau menghubungi talian telefon +63 2 8662 8200 atau 0917 864 0761, atau melalui e-mel di mwmanila@kln.gov.my.

Mereka yang belum mendaftar dan mengemas kini lokasi serta butiran diri dinasihatkan supaya berbuat demikian dengan segera di https://ekonsular.kln.gov.my

Sementara itu, Kementerian Luar sedang menyelaras dengan agensi-agensi berkaitan mengenai bantuan yang akan diberikan kepada Filipina.

"Malaysia mengucapkan takziah dan simpati kepada kerajaan dan rakyat Filipina, terutama kepada mangsa dan keluarga yang terjejas oleh kejadian ini,” menurut kenyataan itu.

Kementerian Luar turut memaklumkan bahawa satu lagi taufan, yang bakal dinamakan"Leon”, kini berada 2,500 kilometer dari Visayas dan dijangka memasuki kawasan di bawah tanggungjawab Filipina pada Ahad.

Xinhua melaporkan bahawa angka korban akibat Taufan Tropika Trami yang melanda Filipina minggu ini telah meningkat kepada 46 orang, dengan sekurang-kurangnya 20 orang lagi masih hilang, menurut pihak berkuasa pada Jumaat.

Dalam satu laporan, Pentadbir Pejabat Pertahanan Awam, Ariel Nepomuceno menyatakan bahawa sembilan wilayah di seluruh negara telah melaporkan kematian berkaitan dengan Trami. - Bernama