Perhalusi dasar gaji minimum, seimbang keperluan perniagaan, ekonomi

Iklan
Kerajaan diminta memperhalusi dasar gaji minimum bagi menyokong kebajikan pekerja dan mengekalkan keseimbangan antara keperluan perniagaan dengan pertimbangan ekonomi yang lebih luas. - Gambar hiasan (Gambar kecil: Barjoyai)

SHAH ALAM - Kerajaan diminta terus memperhalusi dasar gaji minimum bagi menyokong kebajikan pekerja dan mengekalkan keseimbangan antara keperluan perniagaan dengan pertimbangan ekonomi yang lebih luas.

Pakar Ekonomi dari Universiti Sains dan Teknologi Malaysia (MUST), Profesor Emeritus Dr Barjoyai Bardai berkata, masih terdapat bidang yang perlu diperbaiki untuk menjadikan dasar berkenaan lebih berkesan termasuk kenaikan gaji minimum secara beransur-ansur iaitu sebanyak 65 peratus dalam tempoh 10 tahun.

Iklan
Iklan

"Ia bertujuan untuk mengimbangi keperluan pekerja dan kebimbangan majikan tentang peningkatan kos perniagaan.

"Walau bagaimanapun, sesetengah pakar berpendapat bahawa gaji minimum perlu dinaikkan dengan lebih ketara untuk memberikan pendapatan yang benar-benar mencukupi bagi menampung kos sara hidup," katanya dalam kenyataan pada Jumaat.

Iklan

Menerusi pembentangan Belanjawan 2025 pada 18 Oktober, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan bahawa kerajaan bersetuju menaikkan kadar gaji minimum daripada RM1,500 kepada RM1,700 sebulan yang akan berkuat kuasa mulai 1 Februari 2025.

Bagaimanapun, menurut Anwar yang juga Menteri Kewangan, kerajaan memutuskan gaji minimum membabitkan majikan yang mempunyai kurang daripada lima pekerja diberikan penangguhan bagi tempoh 6 bulan berkuat kuasa 1 Ogos 2025.

kerajaan juga perlu pertimbangkan saranan menetapkan tahap gaji minimum secara berbeza untuk sektor tertentu seperti pertanian dan minyak sawit yang sangat bergantung kepada pekerja asing - Gambar hiasan

Iklan

Dalam pada itu, Barjoyai berkata, kaedah gaji sejagat boleh memastikan tahap gaji minimum mencukupi untuk pekerja yang tinggal di kawasan bandar kos tinggi seperti Kuala Lumpur.

Tambahnya, kerajaan juga perlu pertimbangkan saranan menetapkan tahap gaji minimum secara berbeza untuk sektor tertentu seperti pertanian dan minyak sawit, yang sangat bergantung kepada pekerja asing.

"Ini boleh membantu mengekalkan daya saing industri ini sambil tetap menyediakan gaji minimum yang adil.

"Sektor sawah padi di Malaysia misalnya menunjukkan tahap purata pendapatan yang paling rendah pada tahap RM800 sebulan.

"Namun petani pula tidak dilindungi oleh skim gaji minimum kerana mereka bekerja sendiri,” ujarnya.

Beliau berkata, dasar gaji minimum juga perlu menjadi pelengkap kepada sebahagian daripada inisiatif untuk menangani ketidaksamaan pendapatan dan meningkatkan taraf hidup keseluruhan rakyat yang berpendapatan rendah.

Menurutnya, ia turut meliputi inisiatif seperti mengukuhkan jaringan keselamatan sosial dan melabur dalam program pembangunan kemahiran.

"Selain itu, penguatkuasaan dan pemantauan diperlukan bagi memastikan dasar gaji minimum ini berkesan dengan memastikan pematuhan merentas semua sektor dan wilayah.

"Kerajaan harus memperuntukkan sumber untuk memeriksa tempat kerja secara berkala dan menghukum sebarang pelanggaran,” ulasnya.

Tambahnya, kerajaan juga boleh menawarkan insentif cukai bagi membantu mengimbangi peningkatan kos buruh.

"Selain itu, pengecualian pekerja muda remaja daripada keperluan gaji minimum kerana mereka akan memulakan kerjaya dengan cuba memperoleh pengalaman kerja.

"Ia pasti lebih berharga untuk pembangunan kerjaya jangka panjang mereka daripada gaji permulaan yang lebih tinggi,” katanya.

Sementara itu, Barjoyai berkata, meskipun kerajaan telah menaikkan gaji minimum secara beransur-ansur kepada RM1,700 sebulan menjelang 2025, masih terdapat kebimbangan ia tidak cukup tinggi untuk mencapai taraf hidup baik, terutama di kawasan bandar yang lebih mahal kos sara hidup.

"Kenaikan gaji minimum biasanya lebih menguntungkan pekerja asing kerana apabila mereka datang ke Malaysia, mereka bersedia untuk menerima apa sahaja kadar gaji yang ditentukan.

"Mereka juga terus hidup dengan gaya hidup dan kos sara hidup yang sama seperti di negara asal mereka.

"Jadi setiap gaji tambahan akan menjadi bonus yang akan dihantar pulang ke negara asal mereka. Lebih daripada RM 70 bilion dihantar pulang setiap tahun ke negara asal,” jelasnya.

Menurutnya, dianggarkan bagi setiap kenaikan gaji minimum RM100, sebanyak RM4 bilion akan dihantar pulang ke negara asal pekerja asing berkenaan.

Jelasnya, jumlah kiriman wang ke negara asal itu dijangka meningkat RM8 bilion sekiranya gaji minimum dinaikkan kepada RM200.

"Mungkin, kali ini kita boleh mengekang kiriman wang gaji ini kerana Malaysia adalah yang pertama memperkenalkan sistem caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) kepada pekerja asing.

"Pekerja asing dikehendaki mencarum 11 peratus daripada gaji pokok mereka dalam bentuk caruman pekerja kepada KWSP sebagai simpanan.

"Majikan juga akan dipaksa untuk mencarum 13 peratus daripada gaji kasar kasar pekerja sebagai caruman majikan,” ujarnya.

Barjoyai berkata, dalam jangka pendek, polisi gaji minimum dirasakan memberi beban kepada majikan, khususnya peniaga mikro dan kecil.

Jelasnya, ia kerana perniagaan mereka belum stabil dan perlu mengawal kos operasi lebihan untuk terus berdaya maju.

"Gaji pekerja adalah elemen penting di dalam belanja lebihan bulanan mereka. Dalam jangka pendek juga, bila produktiviti tidak meningkat dengan pelaksanaan gaji minimum, peniaga terpaksa memindahkan kos lebihannya kepada pelanggan.

"Jadi satu-satunya jalan untuk terus beroperasi ialah dengan mengenakan kadar atau harga yang lebih tinggi kepada pelanggan.

"Ini bukan sahaja akan membebankan pelanggan mereka yang kebanyakannya dari kumpulan berpendapatan rendah tetapi juga menyebabkan perniagaan mereka menjadi kurang berdaya maju,” jelasnya.

Beliau berkata, kesatuan pekerja berhujah bahawa gaji minimum harus ditetapkan lebih tinggi iaitu sekitar RM 2,700 sebulan, untuk mengeluarkan pekerja berpendapatan rendah daripada kemiskinan.

Dianggarkan bagi setiap kenaikan gaji minimum RM100, sebanyak RM4 bilion akan dihantar pulang ke negara asal pekerja asing - Gambar hiasan

Ujarnya, pakar juga percaya kenaikan gaji minimum boleh memberi kesan positif, seperti meningkatkan penggunaan domestik, mengurangkan pergantungan kepada buruh asing, dan meningkatkan produktiviti pekerja.

"Walau bagaimanapun, kerajaan perlu memantau dengan teliti pelaksanaan dan impak untuk memastikan dasar itu mencapai matlamat yang dimaksudkan untuk menyokong pekerja di samping mengekalkan daya saing ekonomi.

"Secara keseluruhannya, dasar gaji minimum di Malaysia sedang dijalankan, dengan kerajaan mengimbangi keperluan pekerja, majikan, dan ekonomi yang lebih luas.

"Pelarasan lanjut dan penalaan halus mungkin diperlukan untuk menjadikan dasar ini benar-benar berkesan dalam meningkatkan kehidupan rakyat Malaysia yang berpendapatan rendah,” ulasnya.

Dalam pada itu, menurut Barjoyai, sistem gaji minimum diwujudkan bagi melindungi golongan pekerja supaya mereka memperoleh gaji sesuai dengan alam sekitar dan keperluan hidup semasa.

Beliau berkata, pada masa yang sama, dasar tersebut juga akan memastikan tahap minimum kehidupan dinikmati dengan matlamat untuk menghapuskan kemiskinan dalam jangka panjang.

"Untuk memastikan pekerja memperoleh taraf hidup asas dengan membantu menyediakan pendapatan sesuai untuk menampung perbelanjaan sara hidup asas seperti makanan, perumahan dan keperluan lain.

"Menangani ketidaksamaan pendapatan dengan membantu meningkatkan pendapatan pekerja bergaji rendah, mengurangkan jurang antara pendapatan tertinggi dan terendah di negara ini.

"Selain daripada itu, meningkatkan penggunaan domestik dengan meningkatkan kuasa beli pekerja berpendapatan rendah, gaji minimum boleh merangsang permintaan domestik dan pertumbuhan ekonomi,” katanya.