C4 persoal lantikan anak Najib, Nooryana Najwa dalam GLC

Iklan
C4 dalam satu kenyataan menggesa kerajaan menghentikan lantikan ahli politik dalam GLC dan GLIC.

SHAH ALAM - Pusat Memerangi Rasuah dan Kronisme (C4) menggesa kerajaan menghentikan lantikan ahli politik dalam syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) dengan segera.

C4 dalam satu kenyataan berkata, jumlah lantikan politik kerajaan kini semakin membimbangkan walaupun telah dinyatakan pelantikan itu melalui proses tapisan ketat.

Iklan
Iklan

"Lantikan anak perempuan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, Nooryana Najwa sebagai salah seorang Ahli Lembaga Pengarah (ALP) Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (Matrade) telah membangkitkan persoalan tentang kesahihan proses tapisan.

"Tanpa membuat penilaian terhadap perwatakan dan kemahiran, adakah Nooryana Najwa boleh mendapatkan jawatan ini jika bukan kerana hubungan kekeluargaannya?

Iklan

"Jika tidak ada kaitan, sejauh manakah relevan hubungan parti (Nooryana Najwa memiliki jawatan dalam UMNO) yang membolehkan ia dipertimbangkan untuk peranan ini?” soal C4 dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Sebelum ini, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memaklumkan pelantikan ahli politik tertentu menganggotai ALP GLC dibuat berdasarkan kelayakan dan profesional dimiliki.

Iklan

Menurutnya, pemilihan individu untuk mengisi tempat berkenaan juga turut melalui proses dan semakan dengan pelbagai agensi antaranya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) bagi memastikan rekod bersih.

Mengulas lanjut, C4 menegaskan bahawa walaupun proses tapisan itu ketat tetapi pengaruh politik masih lagi kekal.

Pada masa sama, pihak berkenaan turut mempersoal tindakan kerajaan yang seolah-olah terdesak mempertahankan jawatan ahli politik dalam GLC.

"Melalui sistem berasaskan merit, adakah begitu sukar untuk mencari individu lain yang layak untuk jawatan tersebut?” soalnya.

Jelas C4, piawaian akauntabiliti orang ramai terhadap GLC adalah lebih tinggi kerana mereka merupakan penerima langsung dana awam dan sebahagiannya terdiri daripada perusahaan perniagaan yang ditubuhkan untuk membawa manfaat kepada orang ramai.

Sehubungan itu, C4 berkata, adalah munasabah untuk mempersoalkan keputusan yang dibuat sama ada ia dilakukan demi kepentingan parti politik atau gabungan sepanjang kerjaya mereka.