Sindiket penculikan didalangi warga China tumpas

Iklan
Hussein berucap ketika merasmikan Dewan Serbaguna IPD Klang Selatan di Balai Polis Pandamaran hari ini. - Foto: Bernama

KLANG - Memeras ugut kononnya mendakwa mangsa berhutang antara taktik digunakan sekumpulan penjenayah sebelum menculik seorang lelaki warga China sekitar Sepang pada 18 Oktober lalu.

Kumpulan penjenayah yang juga didalangi individu warga China itu kemudiannya bertindak meminta wang tebusan kira-kira RM300,000 sebagai syarat untuk membebaskan mangsa.

Iklan
Iklan

Bagaimanapun, tindakan licik lima suspek termasuk seorang lelaki tempatan ini gagal apabila mangsa berjaya melepaskan diri sebelum kesemua mereka diberkas pihak polis.

Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata, kejadian berkenaan melibatkan mangsa lelaki warga China dipercayai diculik sekumpulan individu ketika dalam perjalanan ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur dengan menaiki perkhidmatan e-hailing.

Iklan

"Kenderaan dinaiki mangsa ditahan berdekatan Plaza Tol Putrajaya sebelum empat lelaki warga asing bertindak menculik dan membawa mangsa menggunakan sebuah kereta.

"Suspek sebelum itu mendakwa mangsa kononnya mempunyai hutang yang perlu dilangsaikan sebelum mengurung mangsa di sebuah lokasi di ibu kota," katanya.

Iklan

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas perasmian Dewan Serbaguna Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Klang Selatan pada Jumaat.

Menurutnya, suspek turut bertindak meminta wang kira-kira RM300,000 daripada keluarga mangsa.

"Mangsa bagaimanapun berjaya melepaskan diri dengan terjun daripada bangunan yang menjadi lokasinya dikurung sebelum mendapatkan rawatan di Hospital Kuala Lumpur.

"Hasil maklumat serta siasatan dijalankan kemudian membawa kepada tangkapan empat lelaki warga China pada 19 Oktober sebelum seorang lagi suspek warga tempatan turut berjaya ditahan pada 22 Oktober di sekitar Kuala Lumpur," katanya.

Menurutnya, kesemua suspek terlibat berumur 30 hingga 40 tahun.

"Siasatan lanjut berkaitan kes ini masih dijalankan di bawah Seksyen 363 Kanun Keseksaan," katanya.