LTAT salur sumbangan keperluan asas anggota MALBATT di Lubnan

Iklan
Majlis penyerahan sumbangan keperluan asas daripada LTAT dan Kumpulan Syarikatnya kepada kontinjen MALBATT 850-12 yang diwakili Komander Kol Johan Effendi Mohd Shalleh.

SHAH ALAM- Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) bersama kumpulan syarikatnya menyerahkan sumbangan barangan keperluan kepada Kontinjen Malaysian Battalion (MALBATT) 850-12 di Lubnan sebagai sokongan terhadap Misi Civil-Military Coordination (CIMIC).

Ketua Eksekutifnya, Ashraf Radzi berkata, sumbangan bernilai lebih daripada RM75,000 dan ia merangkumi beg sekolah, set alat tulis, tuala, lampin bayi, serta vitamin bagi membantu komuniti yang terkesan di Lubnan.

Iklan
Iklan

Menurutnya, inisiatif tersebut mencerminkan dedikasi mereka terhadap kebajikan anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dalam membantu komuniti yang memerlukan terutamanya dalam situasi konflik.

"LTAT akan terus menyokong usaha anggota ATM dan membantu rakyat Lubnan yang terkesan akibat konflik yang sedang berlaku di rantau tersebut.

Iklan

"Antara syarikat yang terlibat ialah Boustead Holdings Berhad (Boustead), Boustead Plantation Berhad (BPlant), Boustead Petroleum Marketing Sdn Bhd (BHPetrol), Boustead Heavy Industries Corporation (BHIC), Boustead Properties Berhad (BProp) dan Pharmaniaga Berhad (Pharmaniaga).

"Kesemua syarikat tersebut menyediakan barangan keperluan asas seperti yang dimohon oleh kontinjen MALBATT 850-12," katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Iklan

Mengulas lanjut, menurut Ashraf, setiap entiti telah bersatu untuk memainkan peranan yang penting dalam memberikan sokongan terhadap anggota tersebut.

Tambahnya, LTAT berbangga dapat menyumbang kepada usaha kontinjen MALBATT di Lubnan

"Ikhtiar ini menunjukkan kerjasama secara kolektif LTAT dan kumpulan syarikatnya.

"Setiap entiti telah bersatu untuk memainkan peranan yang penting dalam memberikan sokongan khusus untuk misi ini, menegaskan komitmen kami terhadap inisiatif nasional yang melangkaui sempadan Malaysia,” katanya.