KPKM lulus 83 projek sehingga September 2024

Iklan
Menteri KPKM, Mohamad bin Sabu (empat dari kanan) bergambar selepas Mesyuarat Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan dengan Exco-Exco Pertanian Negeri Tahun 2024 di Menara LPP

SHAH ALAM - Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) telah meluluskan sebanyak 83 projek di negeri-negeri berkaitan aktiviti pertanian, ternakan, perikanan, agro-pelancongan, pembangunan kapasiti petani, peladang, nelayan dan penternak sehingga September 2024.

Perkara tersebut dimaklumkan KPKM menerusi Mesyuarat Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan dengan Exco-Exco Pertanian Negeri Tahun 2024 yang diadakan di Menara Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) pada Selasa yang dipengerusikan oleh Menteri KPKM, Datuk Seri Mohamad Sabu.

Iklan
Iklan

KPKM dalam satu kenyataan berkata, mesyuarat menzahirkan ucapan penghargaan kepada kerajaan negeri bagi memastikan projek-projek tersebut dapat disempurnakan menjelang penghujung tahun ini.

"Mesyuarat ini merupakan platform bagi usaha kolaboratif kerajaan Persekutuan bersama kerajaan negeri untuk memperkukuh sektor pertanian negara.

Iklan

"Melalui inisiatif itu, produktiviti akan ditingkatkan, sistem sokongan dan perkhidmatan akan diperhebat, sumber diurus secara mampan serta pelaburan dan penglibatan sektor swasta akan terus digalakkan.

"Usaha ini juga bertujuan untuk memperkukuh dan merealisasikan agenda keterjaminan bekalan makanan negara, memacu pertumbuhan ekonomi seterusnya meningkatkan kesejahteraan rakyat selari dengan agenda Malaysia Madani,"ujarnya.

Iklan

Mesyuarat kali ini turut meneliti dan membincangkan sebanyak tiga pembentangan iaitu satu kertas pertimbangan dan dua kertas makluman.

Tambah KPKM, kertas pertimbangan yang dibentangkan adalah mengenai cadangan transformasi ladang ayam terbuka kepada ladang ayam tertutup.

Menurutnya, semua ahli mesyuarat bersetuju bahawa transformasi tersebut dapat meningkatkan kecekapan pengeluaran dan mengurangkan kesan alam sekitar.

"Kerjasama antara kerajaan Persekutuan, negeri, pihak berkuasa negeri (PBN) dan pihak berkuasa tempatan (PBT) serta pemain industri penternakan ayam adalah sangat penting dalam memastikan kejayaan transformasi industri.

"Ia sangat penting agar matlamat Kadar Sara Diri (SSR) ayam dan telur seperti yang digariskan dalam Dasar Agromakanan Negara 2021-2030 (DAN2.0) dapat dicapai.

"Cadangan itu juga selaras dengan DAN2.0, Pelan Tindakan Dasar Sekuriti Makanan Negara (Pelan Tindakan DSMN) 2021-2025 serta Matlamat Pembangunan Mampan 2030 (SDGs) dalam usaha meningkatkan pertumbuhan dan kemampanan industri ternakan ayam," ujarnya.

Turut hadir pada mesyuarat itu adalah Timbalan Menteri KPKM, Datuk Arthur Joseph Kurup; Ketua Setiausaha KPKM, Datuk Seri Isham Ishak dan Timbalan Ketua Setiausaha (Pembangunan) KPKM, Datuk Badrul Hisham Mohd.

KPKM memberitahu, pembentangan kertas makluman dalam mesyuarat tersebut melibatkan Indeks Penarafan Bintang (STARRating) pesawah menerusi pelaksanaan secara berperingkat ke seluruh negara.

"Program STAR-Rating diwujudkan untuk membantu dalam perancangan dan pemantauan prestasi pesawah serta aktiviti penanaman padi di sesebuah kawasan sebagai salah satu usaha transformasi industri padi dan beras negara.

"Melalui program ini, para pesawah akan didaftarkan dan dikelaskan mengikut status, kapasiti, produktiviti dan daya maju,"katanya.

Jelas kenyataan itu, mesyuarat mengambil maklum berhubung Status Pelaksanaan Program Pengukuhan Keterjaminan Makanan Tahun 2024: Mengoptimumkan Penggunaan Tanah Dengan Kerjasama Kerajaan Negeri.

Jelasnya, kerajaan melalui Bajet 2024 telah meluluskan peruntukan sebanyak RM150 juta bagi pelaksanaan program pembangunan bersama kerajaan negeri.

"Ini melibatkan program, usaha pembaikan dan naik taraf serta pelaksanaan aktiviti pertanian di atas tanah yang melibatkan bidang kuasa bersama antara kerajaan negeri dan KPKM," katanya.