Pembidaan NPI Siri MADANI rekod kutipan RM2.62 juta - JPJ

Iklan
Aedy Fadly

PUTRAJAYA - Pembidaan Nombor Pendaftaran Istimewa (NPI) Siri MADANI yang dibuka pada 19 hingga 23 Oktober lepas berjaya merekodkan kutipan keseluruhan sebanyak RM2.62 juta, kata, Ketua Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Datuk Aedy Fadly Ramli.

Menerusi kenyataan pada Jumaat, Aedy Fadly berkata, MADANI 6 merupakan NPI yang dibida dengan harga paling tinggi iaitu RM68,888, diikuti MADANI 5 (RM58,001), MADANI 4 (RM55,000), MADANI 3 (RM51,111) dan MADANI 33 dengan nilai bidaan RM42,110.

Iklan
Iklan

Beliau berkata, bidaan NPI itu telah menarik penyertaan pembida siri keseluruhan 5,632 orang dan 3,263 pembida berjaya memenangi nombor pendaftaran masing-masing.

"NPI Siri MADANI ini juga menunjukkan sambutan daripada pembida dalam menyokong agenda Malaysia MADANI yang secara tidak langsung mempromosikan nilai MADANI yang menjadi cerminan jiwa dan aspirasi negara,” katanya.

Iklan

Memperincikan lima nombor paling banyak dibida, Aedy Fadly berkata MADANI 1118 merekodkan 17 pembida, MADANI 8055 (15 pembida), MADANI 998 (13 pembida), MADANI 1305 (13 pembida) dan MADANI 113 (12 pembida).

"JPJ ingin mengucapkan tahniah kepada pembida yang berjaya menerima keputusan rasmi semalam. Terima kasih juga kepada semua pembida yang menyertai bidaan ini bagi mendapatkan nombor pendaftaran kenderaan pilihan masing-masing melalui Sistem JPJeBid,” katanya.

Iklan

Bidaan NPI Siri MADANI merupakan usaha Kementerian Pengangkutan untuk merealisasikan hasrat kerajaan dalam menjayakan pelaksanaan pelbagai inisiatif kementerian itu untuk rakyat seperti Program MyLESEN, Program Pertukaran Topi Keledar dan subsidi FlySISWA. - Bernama