'Isu kualiti kain uniform jururawat dibangkitkan sejak 10 tahun lalu'

Iklan
Isu kualiti kain uniform yang dibekalkan kepada jururawat dan pembantu perubatan KKM sudah lama dan berulang kali dibangkitkan sejak 10 tahun lalu. - Gambar hiasan (Gambar kecil: Ajulahin Japin)

KOTA KINABALU - Isu kualiti kain uniform yang dibekalkan kepada jururawat dan pembantu perubatan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sudah lama dan berulang kali dibangkitkan sejak 10 tahun lalu.

Pengerusi Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) Sabah, Ajulahin Japin berkata, kesatuan telah membentangkan masalah itu melalui sesi perundingan di peringkat jabatan dan majlis bersama kebangsaan.

Iklan
Iklan

"Malangnya, isu ini tidak dapat diselesaikan kerana isu keperluan pematuhan kepada protokol perolehan yang telah ditetapkan.

"Walaupun kami memahami bahawa pembekal menghadapi masalah dengan pembekal utama mereka disebabkan oleh jumlah pesanan yang besar, kesatuan percaya bahawa satu cara untuk mengatasi masalah berterusan ini adalah dengan membenarkan anggota kesihatan membeli kain uniform mereka sendiri," katanya dalam kenyataan pada Jumaat.

Iklan

Bagaimanapun, beliau yang juga Presiden Sabah Medical Services Union yakin bahawa Kerajaan Madani boleh menyelesaikan masalah tersebut dengan menyemak semula protokol sedia ada.

Menurutnya, sebelum ini kakitangan kesihatan beruniform di bawah kementerian menghadapi masalah yang sama dengan bayaran upah jahitan.

Iklan

"Namun, masalah ini telah diselesaikan melalui perundingan di majlis bersama kebangsaan yang membenarkan pembayaran elaun tersebut dibuat melalui slip gaji mereka tanpa perlu membuat tuntutan dengan resit sebagai bukti.

"Pembekalan kain dan pembayaran upah jahitan ini dilaksanakan setiap tahun," katanya.

Sehubungan itu, Ajulahin berkata, kesatuan menaruh harapan besar agar prosedur tersebut turut diguna pakai dalam pembelian kain uniform oleh individu.

"Uniform memainkan peranan yang sangat penting dalam menjaga imej profesion, maka sekiranya terdapat ketidakpatuhan, tindakan harus diambil oleh penyelia untuk memastikan anggota kesihatan sentiasa melaksanakan tugas pada tahap profesionalisme yang tertinggi," katanya.

Sebelum itu, Cuepacs Sabah menyambut baik kenyataan Ahli Parlimen Bagan, Lim Guan Eng di Parlimen berkaitan kualiti kain uniform yang dibekalkan kepada kakitangan KKM.

Guan Eng membangkitkan mengenai keluhan jururawat kerajaan yang mendakwa menerima kain untuk seragam yang berkualiti rendah, sehingga ada yang membandingkannya dengan kain kafan.